Sabtu, 17 Jun 2017 | 6:40am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyampaikan ucapan pada majlis berbuka puasa bersama media di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto NSTP

Jalan darat Serudong-Kalimantan Utara bakal jadi realiti

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bergambar bersama petugas media Sabah yang hadir pada majlis berbuka puasa di Kota Kinabalu, malam tadi. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan merancang mewujudkan bandar sempadan baharu di negeri ini dengan membina jalan raya menghubungkan Serudong di Kalabakan dan Kalimantan Utara, Indonesia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata pembukaan jalan berkenaan membolehkan aktiviti perdagangan tukar barang dipertingkatkan melalui penggunaan laluan darat buat pertama kalinya.

Katanya, aktiviti ekonomi berkenaan yang sejak sekian lama menggunakan laluan laut terutama antara Sabah dan Filipina ketika ini, semakin terjejas berikutan ancaman keselamatan.

"Saya mencadangkan perkara itu kepada Kabinet, malah kerajaan Sabah juga memberikan maklum balas yang baik, namun ia memerlukan kajian lebih terperinci.

"Pembangunan bandar sempadan itu yang dilengkapi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), membolehkan Sabah mewujudkan integrasi ekonomi lebih kukuh di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA)," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini, malam tadi.

Ketika ini, Sabah tidak mempunyai laluan darat yang menghubungkan negeri ini dengan negara jiran.

Serudong di Kalabakan yang terletak bersempadan dengan Kalimantan Utara, tersenarai dalam penghujung laluan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan kos lebih RM12 billion.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, kajian awal cadangan itu sudah disiapkan Asian Development Bank (ADB) dan akan diperincikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Beliau berkata, dalam usaha mengukuhkan ekonomi negeri, Sabah perlu memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi wilayah di bawah BIMP-EAGA.

"Jika Sabah mempunyai integrasi ekonomi yang kuat dan lebih mendalam dengan wilayah berhampirannya di Indonesia, Filipina dan Brunei, kita ada banyak peluang baharu untuk diterokai.

"Saya akan membuat lawatan ke Kalimantan Utara untuk meningkatkan hubungan ekonomi bukan antara negara, sebaliknya wilayah (Sabah dan Kalimantan Utara," katanya.

Berita Harian X