Sabtu, 17 Jun 2017 | 3:18pm

Twitter Katy Perry kini 100 juta pengikut

KATY Perry.- Foto AFP

WASHINGTON: Bintang pop Katy Perry melakar sejarah dengan menjadi pengguna pertama meraih 100 juta pengikut di Twitter, umum platform media sosial itu.

"Pada hari ini kami menyaksikan (#WITNESS) sejarah," kata Twitter dalam tweet semalam, merujuk tajuk album kelima Perry yang baru dilancarkan.

"Tahniah @katyperry, yang pertama mencapai 100 juta pengikut! #LoveKaty."

Penyanyi berusia 32 tahun itu baru-baru ini menyiarkan kehidupannya secara langsung selama 96 jam, menjemput peminat melihat beliau tidur, masak, melakukan yoga, bermain dengan anjingnya Nugget dan berbual dengan ramai selebriti yang muncul di kediamannya.

Walaupun meletakkan kehidupannya secara seketika di bawah pengawasan 41 kamera, Perry atau nama sebenarnya Katheryn Hudson, yang dibesarkan ibu bapa konservatif Kristian di California berkata, beliau bergelut menangani perhatian terhadap kehidupannya secara meluas.

"Saya menempa nama Katy Perry yang semua orang tahu dan itulah alasan mereka menyaksikannya, ia hebat, namun lebih kepada zahirnya sahaja.

"Saya hanya manusia dan saya hidup di bawah mikroskop yang gila," katanya kepada ahli terapi Siri Singh sambil air mata mengalir mencomotkan maskara dipakainya.

Penyanyi Justin Bieber mengekori di Twitter dengan tidak sampai 97 juta pengikut sementara musuhnya Taylor Swift memiliki 85 juta pengikut. -AFP

Berita Harian X