Ahad, 18 Jun 2017 | 10:47am

Polis tembak mati 2 penjenayah


MAZLAN (tengah) menunjukkan senjata api dan barangan yang dijumpai di dalam kenderaan suspek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati dua lelaki tempatan selepas berbalas tembakan di dua lokasi berasingan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang sedang melakukan rondaan di kawasan pembinaan projek perumahan Bandar Baru Sentul mengesan dua buah kereta jenis Proton Waja berada dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata apabila kedua-dua buah kereta berkenaan tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Masjid Bandar Baru Sentul, suspek melarikan diri dengan berpecah ke arah kiri dan kanan.

"Pasukan D9 juga berpecah dua untuk mengejar kereta suspek. Sebuah kereta anggota D9 dapat pintas di hadapan masjid, dan kemudian suspek bertindak melanggar kereta polis untuk melarikan diri.

"Selepas itu suspek bertindak nekad menembak ke arah polis dan susulan itu polis membalas tembakan itu untuk mempertahankan diri.

"Sebuah lagi kereta melarikan diri ke arah berlainan dan berjaya dipintas di Jalan Segambut, suspek kedua turut melanggar kereta dan menembak polis," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian di Jalan Segambut, hari ini.

Mazlan berkata, kedua-dua penjenayah mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek polis menemui tiga bilah parang, satu unit pemotong kabel, dua pucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup dan kelongsong peluru.

"Kita juga mendapati kedua-dua kereta berkenaan penuh berisi gelungan wayar kabel tembaga dipercayai telah disamun oleh suspek. 

"Siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek, lelaki tempatan berusia 46 dan 26 tahun, berasal daripada Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mempunyai rekod jenayah lampau, seorang tersenarai dalam orang yang dikehendaki polis," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terbabit dengan kedua-dua suspek.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

KESAN tembakan di kenderaan suspek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MAZLAN menunjukkan kenderaan suspek. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X