Ahad, 18 Jun 2017 | 3:03pm

Cuti sebulan suami dapat anak sulung

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd memberi cuti paterniti berbayar selama sebulan kepada kakitangan lelaki yang mendapat anak pertama, berkuat kuasa hari ini.

Dasar yang ditambah baik itu membolehkan golongan bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak pertama mereka di samping berkongsi tanggungjawab bersama isteri.

Mengikut dasar baharu itu, cuti paterniti berbayar dinaikkan daripada tiga hari bekerja berturut-turut kepada sebulan (30 hari berturut-turut).

Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin, berkata dasar berkenaan adalah pelengkap kepada Program Peremajaan Kakitangan yang membenarkan kakitangan CIMB mengambil hingga enam bulan cuti tidak berbayar atas sebab peribadi.

Ia termasuk melanjutkan tempoh cuti bersalin dan cuti paterniti dengan mengekalkan jawatan semasa atau senioriti mereka di syarikat itu.

"Inisiatif ini selaras dengan usaha CIMB yang sentiasa meningkatkan kebajikan pekerja melalui dasar kesaksamaan gender.

"Ini adalah satu lagi inisiatif dalam menunjukkan bagaimana CIMB menghargai kakitangannya dengan memastikan ia mendapat sokongan dalam usaha mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian.

"Ia sekali gus mencerminkan usaha keseluruhan kami untuk melaksanakan amalan terbaik global dalam pengurusan sumber manusia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, CIMB sebelum ini memperuntukkan hingga RM1 bilion bagi pinjaman perumahan tanpa faedah untuk tempoh pinjaman lima tahun pertama serta pelbagai lagi manfaat lain.

Pendekatan yang diambil bagi membantu kakitangan berpendapatan rendah menguruskan tanggungjawab bulanan mereka.

Berita Harian X