Ahad, 18 Jun 2017 | 10:36pm

Indah nafi jalin hubungan dengan jurulatih peribadi


Penyanyi, Siti Ruhailah Hussien atau lebih dikenali sebagai Indah Ruhaila. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

SHAH ALAM: Penyanyi Indah Ruhaila, 30, menafikan gosip beliau menjalinkan hubungan intim dengan seorang jurulatih peribadi seperti tersiar dalam sebuah ruangan pojok portal hiburan, baru-baru ini.

Mengakui mengenali seorang pengurus kecergasan korporat, namun hubungan mereka sekadar kawan biasa, bukan seperti cerita yang tersebar.

Malah, lelaki terbabit juga katanya bukan punca hubungan beliau dengan tunangnya retak.

"Gosip yang mengaitkan saya dengan PT (personal trainer) itu tidak benar dan ia tidak ada kena mengena dalam hal hubungan saya dengan tunang. Kalau nak diceritakan dari mula apa yang terjadi dengan hubungan ini (tunang), ia takkan habis.

"Orang boleh cakap apa saja mengenai saya, tetapi, lebih baik saya berdiam diri. Kebenarannya akan terjawab juga nanti, namun, bukan sekarang," katanya yang enggan mendedahkan status pertunangannya itu.

Enggan membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu kerana mahu menjaga hati banyak pihak, Indah mahukan sedikit ruang untuknya menyelesaikan permasalahan antara mereka secara baik.

Masih mencari jalan penyelesaian, penyanyi lagu Percayalah itu ketika ditemui pada sebuah acara di sini malam ini mahu peminat mendoakan kebahagiaannya dan menyerahkan soal jodoh kepada ketentuan Tuhan.

"Saya tak boleh buat sebarang kenyataan buat masa ini sebab banyak perkara hendak diselesaikan dulu. Bukan pasal saya seorang, tetapi banyak hati perlu dijaga.

"Apabila perkara seperti ini terjadi, ia membuatkan saya sangat tertekan. Orang selalu tanya mengenai pengakhiran pertunangan kami dan saya takut nak beri sebarang komen kerana orang akan cepat jatuhkan hukum.

"Jadi, jalan terbaik adalah dengan saya berdiam diri dulu. Saya perlukan sedikit ruang untuk selesai masalah ini. Saya tak boleh cerita semua dan itu pun kalau ada yang percaya," katanya.

Indah mengikat tali pertunangan dengan jejaka yang mahu dikenali dengan Mr R pada 2013 sebelum menyertai Akademi Fantasia pada tahun sama.

Berita Harian X