Rabu, 27 Ogos 2014 | 6:02pm

Abdul Khalid nafi beliau calon tunggal MB selepas PRU 2008/2013

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini menafikan beliau adalah satu-satunya calon yang dicadangkan untuk menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013.

Katanya, nama calon lain juga dikemukakan kepada Istana Selangor untuk jawatan itu.

"Lebih daripada satu nama dikemukakan dari semasa ke semasa kepada Istana," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan PKR dan DAP bahawa hanya satu nama dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 untuk jawatan Menteri Besar.

Dua parti itu bertegas untuk hanya mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mengisi jawatan itu dan mendakwa mengikut kelaziman, hanya satu nama dikemukakan bagi tujuan itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, pada sidang akhbar sama, berkata PAS akan mengadakan mesyuarat dengan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali malam ini sebelum memberi ulasan tentang pendirian parti dalam isu Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengumumkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk menggantikan Abdul Khalid yang dipecat daripada PKR kerana mengingkari arahan parti dan diminta melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.

Semalam, Abdul Khalid mempersembahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Sultan Selangor, tetapi baginda menangguhkan menerima permohonan itu sehinggalah menteri besar baharu dipilih.

Baginda juga menitahkan kepada PAS, PKR dan DAP supaya masing-masing mempersembahkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar untuk pertimbangan istana.

- BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X