Isnin, 19 Jun 2017 | 7:11am
IRAN melancarkan siri peluru berpandu ke Syria semalam bagi membalas serangan maut ke atas ibu kota negara itu yang didakwa dilakukan militan Daesh.- Foto EPA

Iran bedil peluru berpandu ke Syria

TEHRAN: Pengawal Revolusi Iran berkata ia melancarkan siri peluru berpandu ke Syria semalam bagi membalas serangan maut ke atas ibu kota negara itu yang didakwa dilakukan militan Daesh.

Ia adalah serangan peluru berpandu pertama dilakukan Iran di luar wilayahnya dalam masa 30 tahun, sejak perang Iran-Iraq pada 1980-1988, lapor media republik itu.

Ia dilancarkan beberapa jam selepas pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam kenyataan di laman webnya, berjanji Iran akan 'menampar musuh' sebagai tanda menghormati keluarga mangsa, termasuk mereka yang terbunuh di Syria dan Iraq.

Peluru berpandu dilancarkan dari barat Iran menyeberangi sempadan ke wilayah Deir Ezzor, di timur laut Syria, menyasarkan apa yang disifatkan 'pangkalan pengganas' oleh unit elit itu.

Pengawal Revolusi, dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Sepahnews, berkata ia bagi membalas serangan pada 7 Jun di Tehran yang dilakukan Daesh.

"Peluru berpandu jarak sederhana ditembak dari wilayah Kermanshah dan Kurdestan, dan sebilangan pengganas maut dan senjata musnah," menurut kenyataan.

Ia berkata, serangan menyasarkan 'pangkalan pemerintah pengganas di Deir Ezzor', wilayah kaya minyak di timur Syria.

Televisyen Iran menunjukkan rakaman peluru berpandu dilepaskan semalam. - AFP

64 dibaca
Berita Harian X