Isnin, 19 Jun 2017 | 8:17am

Portugal berkabung 3 hari susulan kebakaran hutan


SUKARELAWAN memunggah makanan dan air di sebuah balai bomba di Pedrogao Grande, pusat Portugal. - Foto REUTERS

LISBON: Portugal mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari berikutan angka kematian akibat kebakaran hutan meningkat kepada 62 nyawa selain mencederakan puluhan yang lain.

Hampir 600 anggota dan 160 kereta bomba dikerah ke lokasi kejadian lewat kelmarin bagi mengawal kebakaran yang berlaku pada tengah hari di Pedrogao Grande, kira-kira 50 kilometer dari Coimbra, sebelum merebak pantas ke kawasan lain.

"Malangnya ini adalah tragedi kebakaran hutan paling buruk dalam masa beberapa tahun.

"Jumlah korban mungkin akan terus meningkat. Keutamaan kini adalah menyelamatkan penduduk yang masih dalam bahaya," kata Perdana Menteri Antonio Costa.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) berkata, ia akan menghantar kapal terbang menangani kebakaran berikutan permintaan Lisbon.

"Perancis menawarkan tiga pesawat menerusi Mekanisme Perlindungan Sivil EU dan akan segera dihantar untuk membantu pasukan kecemasan tempatan," kata Pesuruhjaya EU bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Krisis, Christos Stylianides.

Kira-kira 60 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara itu semalam, dengan 1,700 anggota bomba berusaha memadamkan api.

Setiausaha Dalam Negeri, Jorge Gomes, berkata 43 mangsa terbakar, kebanyakannya terperangkap dalam kereta yang dijilat api di wilayah Leiria. Sekurang-kurangnya 59 cedera. - AP

dibaca
Berita Harian X