Isnin, 19 Jun 2017 | 2:00pm

Penjawat awam hadapi 4 tuduhan rasuah

JOHOR BAHRU: Seorang penolong pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima RM35,000 daripada seorang kontraktor, antara 1 Ogos 2013 hingga 10 April 2014. 

Tertuduh, Mohd Razi Basar, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.   

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima dua keping cek RM20,000 di atas nama isterinya, tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor.   

Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memperakukan penerimaan barang bagi kerja membekal dan menghantar lima tangki air plastik bergerak dan menghantar 340 beg makanan ternakan kambing kepada serta membekal 10 unit pagar jenis cyclone kepada JPV negeri selain membekal bahan binaan untuk membaikpulih kandang lembu di Batu Pahat.   

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM15,000 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar 10 pejantan dan 50 ekor betina kerbau baka sawah kepada JPV negeri yang mana tertuduh tahu ia ada kaitan dengan kaitan dengan tugasnya sebagai Pegawai Projek Pembekalan di jabatan itu.   

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Belahan Tampok, Rengit dekat Batu Pahat, dekat sini. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.   

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam M Manian. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Batu Pahat pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X