Isnin, 19 Jun 2017 | 3:00pm

54 hotspot kemalangan di Kedah

YAN: Polis Kedah menyenaraikan 54 kawasan kerap kemalangan di seluruh daerah di negeri ini yang akan diberikan tumpuan khusus dalam Op Selamat sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata terdapat dua hingga tujuh lokasi kerap kemalangan disenaraikan bagi setiap daerah iaitu tujuh di Pendang, Kota Setar dan Kuala Muda; enam di Kubang Pasu dan Baling; empat di Padang Terap, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi; tiga di Yan dan dua di Sik.

Katanya, semua kawasan yang disenaraikan itu diklasifikasikan sebagai 'hotspot' atau lokasi panas kerana berisiko untuk berlaku kemalangan atas faktor keadaan jalan yang bermasalah.

"Keadaan jalan berlubang dan permukaan yang tidak rata antara penyumbang kepada kes kemalangan, selain faktor cuaca yang menjadikan keadaan jalan tidak selamat," katanya.

Asri berkata, seperti tahun lalu pihaknya menyasarkan penurunan kes kemalangan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya dan ia boleh dicapai sekiranya pemandu lebih berhemah dan mengutamakan keselamatan ketika di jalan raya.

Katanya, sebanyak 55 peratus faktor kemalangan adalah disebabkan terbabas sendiri, manakala selebihnya kerana gagal memotong kenderaan lain, tidak cekap memandu, salah buat pertimbangan, memandu melebihi had laju dan sebagainya.

"Faktor menggunakan telefon bimbit ketika memandu juga turut menjadi penyumbang utama penyebab kelalaian ketika memandu dan mengundang kemalangan.

"Sebanyak 35 kemalangan adalah berpunca daripada penggunaan telefon bimbit dan sikap ini juga menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat Sempena Aidilfitri 2017, sehingga 2 Julai ini, di Balai Polis Guar Chempedak di sini, hari ini.

Berita Harian X