Isnin, 19 Jun 2017 | 4:48pm

FGV: Zakaria lantik Muhammad Shafee peguam penasihat


TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah dilantik sebagai penasihat FGV. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Sambil mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV), Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam penasihatnya.

Dalam kenyataannya petang ini, Zakaria berkata, Muhammad Shafee akan menjadi penasihatnya untuk berdepan dengan siasatan dalaman yang ditubuhkan bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad susulan dakwaan beliau terbabit dengan salah laku urus niaga membabitkan syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

Zakaria bersama tiga yang lain yang dipaksa bercuti oleh Lembaga Pengarah FGV sebelum ini.

"Merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri mengenai FGV, saya mengucapkan tahniah kepada Sulaiman di atas pelantikannya sebagai Pemangku Pengerusi FGV. Saya akan patuh dengan cadangan dalam laporan Datuk Seri Idris Jala.

"Berhubung dengan siasatan dalaman yang ditubuhkan Isa, saya yakin akan dibuktikan tidak bersalah dan dengan ini, saya melantik Muhammad Shafee sebagai penasihat undang-undang bagi menguruskan perkara ini (dakwaan salah laku)," katanya dalam kenyataan hari ini.

FGV mengumumkan peletakan jawatan Isa sebagai Pengerusi berkuatkuasa hari ini dan menamakan Sulaiman dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV, juga berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Isa dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuatkuasa serta merta.

Berita Harian X