Isnin, 19 Jun 2017 | 5:00pm

Perbaiki prestasi kewangan FGV sasaran utama Sulaiman


PEMANGKU Pengerusi FGV yang baru dilantik, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Memperbaiki prestasi kewangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) adalah sasaran jangka sederhana ditetapkan oleh Pemangku Pengerusi FGV yang baru dilantik, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Dr Sulaiman berkata, pihaknya akan mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan sasaran itu dapat direalisasikan.

"Saya berterima-kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan beliau (terhadap pelantikan ini). Beliau telah memberi tanggungjawab besar kepada pihak lembaga pengarah dan saya untuk melaksanakan perubahan urus tadbir dalam FGV.

"Saya akan mengambil langkah-langkah penting yang dirasakan perlu bagi memperbaiki prestasi kewangan syarikat dalam jangka sederhana," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Sulaiman sebagai Pemangku Pengerusi FGV bagi menggantikan Tan Sri Isa Samad.

Sulaiman turut menyambut baik keputusan laporan bebas diketuai Datuk Seri Idris Jala mengenai FGV yang bersetuju dengan tindakan pihaknya menggantung empat pegawai kanan syarikat itu.

"Ini menunjukkan bahawa tindakan kita ini bersesuaian dengan harapan pihak atasan supaya urus tadbir terus diperbaiki.

"Siasatan dalaman terhadap mereka akan diteruskan dan mereka juga akan diberi peluang untuk membela diri. Saya memberi jaminan yang siasatan akan dilakukan dengan seadil-adilnya," katanya.

Berita Harian X