Isnin, 19 Jun 2017 | 5:42pm

Mercun RM30,000 disorok dalam bangsal


KETUA Polis Daerah Kemanam, Superintendan Mohd Said Ibrahim menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas di sebuah bangsal di Kampung Gong Pauh, Chukai, awal pagi tadi.

CHUKAI: Polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun bernilai lebih RM30,000 dalam satu serbuan di sebuah bangsal di Kampung Gong Pauh dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, dalam serbuan pada kira-kira jam 1 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan menemui enam biji pil kuda.

"Antara mercun yang dirampas ialah 17 guni mercun bola, 50 kotak pelbagai saiz Happy Boom, Sakura Rose (55 kotak) dan pelbagai bunga api dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Chukai, Kemaman, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit mengaku mendapat bekalan mercun berkenaan dari negara jiran, Thailand untuk dijual di sekitar daerah Kemaman.

Katanya, lelaki terbabit ditahan selama empat hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 dan juga Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Said berkata, rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini dikesan di Kemaman.

Katanya, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan operasi bagi membanteras aktiviti mengedar dan menjual bahan terbabit.

dibaca
Berita Harian X