Isnin, 19 Jun 2017 | 6:01pm

Teliti aspek keselamatan bangunan tinggi - Lam Thye


NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), TanSri Lee Lam Thye. - Foto Danial Saad

KUALA LUMPUR: Penggunaan panel komposit aluminium (ACP) yang mudah terbakar sering dikaitkan dengan beberapa kebakaran bangunan bertingkat di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri  Lee Lam Thye, berkata keadaan ini melahirkan kebimbangan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap penggunaan ACP berkualiti rendah yang dilakukan kontraktor di Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, setiap tahun purata 6,000 premis musnah dalam kebakaran di seluruh negara. 

Katanya, kira-kira 40 peratus daripada premis berkenaan membabitkan rumah persendirian manakala baki 60 peratus bagi lain-lain jenis bangunan.

"Banyak bangunan tinggi di Malaysia masih mempunyai sistem perlindungan kebakaran yang tidak baik. Pemilik bangunan juga gagal mengekalkan sistem keselamatan di premis kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

"Sepatutnya kebakaran di Grenfell Tower, London yang mengakibatkan ramai terbunuh dan 70 cedera disebabkan gangguan bekalan kuasa serta masalah pendawaian yang uzur, menjadi pengajaran. 

"Ini kerana penggunaan panel lapisan polistirena yang didakwa menjimatkan tenaga turut menjadi punca api merebak dengan cepat. Walaupun aduan sudah dibuat sejak 30 tahun lalu terhadap kelemahan aspek keselamatan bangunan, tiada tindakan diambil," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, Malaysia memerlukan undang-undang yang ketat bagi memastikan pemeriksaan dan audit keselamatan bangunan dilakukan secara lebih kerap.

Beliau berkata, penyelenggaraan bangunan, menaik taraf sistem perlindungan kebakaran, pemasangan alat pengesan asap dan menggantikan pendawaian lama adalah perkara perlu dilaksanakan semua pihak berkepentingan. 

"Walaupun sebahagian besar bangunan di Malaysia mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan diberikan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), ramai pemilik gagal mengekalkan sistem keselamatan di premis mereka.

"Kebanyakan pemilik bangunan enggan berbelanja kerana ia membabitkan kos tinggi, sedangkan ia sangat penting untuk mencegah kebakaran," katanya.

 

dibaca
Berita Harian X