Isnin, 19 Jun 2017 | 7:14pm

KPD Wangsa Maju cedera kemalangan


Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, 41, yang menunggang Yamaha FZ 150i cedera parah dalam kemalangan. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Wangsa Maju patah lima tulang rusuk kiri selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Bulatan Kampung Pandan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, 41, yang menunggang Yamaha FZ 150i sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sebelum motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

Jurucakap polis trafik memberitahu, mangsa yang datang dari arah persimpangan Jalan Pudu/Jalan Sungai Besi bergesel dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 27 tahun yang datang dari arah Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) di lorong tengah bulatan berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa patah lima tulang rusuk sebelah kiri selain cedera pada kaki dan tangan, manakala seorang lagi penunggang motosikal hanya cedera ringan di badan.

"Mangsa dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran untuk rawatan," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi BH, tadi mengesahkan kejadian dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

133 dibaca
Berita Harian X