Rabu, 27 Ogos 2014 | 6:12pm

Krisis Selangor: PAS tunggu surat istana sebelum umum tindakan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akan menunggu surat daripada Istana Selangor sebelum membuat keputusan mengenai cadangan nama menteri besar seperti yang dititah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Beliau berkata, setakat ini belum ada cadangan nama ketiga bagi pihak PAS untuk diketengahkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu dan dan akan bermesyuarat sekiranya perlu nama ketiga.

Ketika dihubungi Bernama di sini hari ini, beliau enggan mengulas sekiranya ada nama-nama calon daripada pihak PAS sendiri.

Pada 17 Ogos lepas, PAS memutuskan untuk mencalonkan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar baharu di samping calon sedia ada, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada hari yang sama, gabungan pembangkang, iaitu PAS, PKR dan DAP bersetuju Dr Wan Azizah dinamakan sebagai calon tunggal bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Semalam Sultan Sharafuddin menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baharu ditentukan.

Baginda turut menitahkan pemimpin Pakatan Rakyat - PAS, PKR dan DAP - supaya mencadangkan lebih daripada dua nama daripada setiap parti sebagai calon menteri besar bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan, seterusnya memberi perkenan melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar.

Walaupun begitu, PKR dan DAP dalam kenyataan bersama semalam berkata mereka tetap akan mencadangkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Ditanya mengenai perbezaan pendirian PAS berbanding PKR dan PAS, Mustafa berkata itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.

"Tetapi tak berbangkit isu kita (PAS) tak bersama yang lain (PKR dan DAP). Buat masa ini belum ada panggilan mesyuarat bagi Pakatan Rakyat," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X