Selasa, 20 Jun 2017 | 6:00am
PUASA bukan sekadar menahan lapar, tetapi sebagai perisai diri daripada segala jenis penyakit.

Puasa terapi kesihatan, cegah penyakit

UMAT Islam di serata dunia kini sedang menjalani ibadah puasa sebagai tanda mentaati tuntuan syariat Islam. Dengan kefahaman Islam dan tanggungjawab sebagai individu Muslim, setiap kita akan cuba sedaya upaya melaksanakan tugasan berpuasa dengan sebaik mungkin.

Selepas lebih tiga minggu Ramadan berlalu, maka perubahan pada fisiologi badan sudah mula diadaptasi dan semakin serasi. Ini bermaksud, kita sudah mudah berasa selesa dengan ibadah ini sebagai satu bentuk latihan kerohanian dan secara langsung juga memberi kesan baik kepada fizikal tubuh badan. Seperti kita maklum, hikmah puasa boleh dijelaskan dari pelbagai sudut seperti kesihatan jasmani, kerohanian, sudut akhlak, sosial serta kemanusiaan.

Dalam kontek ini, penulis akan fokuskan kepada manfaat kesihatan tubuh badan dalam kehidupan individu yang mengamalkan puasa.

Secara umumnya, tempoh berpuasa Ramadan ialah sekitar 14 hingga 16 jam sehari bergantung kepada negara seseorang beribadat. Dalam tempoh yang agak panjang pada siang hari, ini bukan menjadi alasan untuk indvidu Muslim meninggalkan tanggungjawab seharian mereka untuk bekerja.

Lantaran itu, persediaan tubuh badan untuk melalui fasa puasa pada siang hari perlu diambil perhatian. Ini bertujuan memastikan setiap individu akan kekal cergas dan tetap terus menumpukan ibadah ini sebagai satu bentuk latihan 'mujahadah' dan ketaatan kepada Allah SWT.

Antara perubahan fisiologi yang agak ketara ialah penggunaan tenaga badan banyak menggunakan sumber karbohidrat. Ini diperoleh dari sumber makanan yang diambil pada waktu malam sebelum tidur dan ketika sahur.

Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50 peratus daripada pengambilan tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia. Di samping itu, badan kita sangat memerlukan pengambilan air mencukupi ketika tempoh berpuasa. Sekurang-kurangnya lapan gelas air harus diambil ketika luar waktu puasa. Ini perlu dilakukan ketika berbuka puasa, malam sebelum tidur dan ketika waktu sahur.

Sekiranya jumlah karbohidrat dan air tidak mencukupi, kita akan mudah berasa penat terutama bila menjelang waktu tengahari. Tubuh badan yang mempunyai air yang tidak mencukupi menyebabkan tanda-tanda dehidrasi seperti keletihan, tidak bermaya, kurang tumpuan pemikiran, kurang cergas dan lain-lain lagi. Dalam keadaan yang agak serius, juga boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.

Namun, badan juga mampu menggunakan sumber tenaga lain, iaitu lemak. Sumber lemak berada dalam simpanan di hati atau di bahagian otot yang lain. Penggunaan sumber tenaga ini adalah penting kerana sepanjang tempoh berpuasa, kita tidak mengambil sebarang makanan atau minuman kecuali apa yang tersedia sewaktu sahur atau malam sebelumnya.

Justeru, secara sunnatullah sistem fisiologi badan mampu menjana tenaga untuk sel badan berfungsi dengan baik. Ketika berbuka puasa pula, sumber makanan dan minuman perlu diisi semula ke dalam badan. Ini bertujuan menggantikan sejumlah tenaga yang telah digunakan disiang hari berpuasa. Jika kita amati secara terperinci, setiap proses perubahan dan adaptasi oleh sistem tubuh badan ini sangat kompleks. Juga keadaan ini menjadi satu alasan penciptaan manusia dan sebagai satu refleksi bahawa sifat pencipta iaitu Allah SWT tuhan yang Maha Esa.

Kenapa puasa menyihatkan?

Puasa juga memberi kesempatan bagi sistem gastrointestinal atau pencernaan untuk 'berhenti' seketika waktu siang hari. Dalam tempoh berpuasa, tiada tambahan makanan dan minuman baru yang diterima oleh sistem pencernaan. Jadi, sistem pencernaan manusia ini yang lazimnya memerlukan 7 hingga 8 jam untuk memproses makanan yang dimakan.

Dalam keadaan tidak berpuasa, sistem pencernaan seseorang akan bekerja terus tanpa henti. Buktinya ialah, kita akan berasa letih sekiranya makanan yang diambil itu lebih dari hadnya. Untuk memastikan pencernaan makanan berfungsi dengan baik, tenaga diperlukan. Lebih banyak makanan atau minuman yang diambil, maka lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan itu sempurna. Pencernaan sempurna akan memastikan serapan nutrien dan air ke dalam sistem tubuh berlaku.

Jadi, makanan atau minuman boleh memberi kesan langsung kepada kadar penghadaman dan serapan nutrien yang sepatutnya. Justeru, puasa juga memberi peluang kepada kita untuk menjaga dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Ini bermula dengan pengambilan makanan dihadkan semasa siang hari selama sebulan puasa Ramadan. Juga kita dinasihatkan supaya mengambil makanan seimbang dan meminum air dengan secukupnya pada luar masa berpuasa.

Jika kita berjaya mengamalkan prinsip ini sepanjang bulan puasa, sudah hampir pasti berat badan akan berkurangan, tahap kolesterol bertambah baik, paras glukos darah juga stabil dan fungsi ginjal akan menjadi lebih baik. Fakta tahap kesihatan semakin baik seperti ini mampu dicapai oleh setiap individu Muslim yang sangat berdisiplin dalam Ramadan. Ketidakseimbangan pengambilan makanan pula boleh mengundang penyakit dan kemudaratan.

Bulan lawan penyakit

Ramadan yang mulia ini juga terkenal sebagai bulan 'terapi kesihatan' kepada beberapa jenis penyakit. Antaranya ialah kepada perokok dan penghisap vape tegar. Mereka mampu untuk mengurangkan atau berhenti terus amalan yang membazir dan membahayakan kesihatan. Umum mengetahui, perokok tegar agak sukar untuk berhenti akibat kesan ketagihan terhadap nikotin, namun ketagihan itu lebih bersifat psikologi.

Ini bermakna ketagihan merokok ini boleh dirawat dengan sifat keazaman mental yang kuat dan menghindarkan diri daripada pengaruh sekitar seperti rakan perokok lain atau penghisap vape. Banyak bukti perubatan bahaya merokok, dan kempen berhenti merokok dan vape juga sudah terlalu lama dijalankan. Namun, keberkesanannya belum lagi optimum. Penyakit kerosakan kepada sistem paru-paru, batuk yang kronik dan kanser paru-paru antara sebahagian penyakit akibat merokok.

Justeru, objektif puasa dengan menahan lapar, dahaga serta mengelakkan perkara yang membatalkan puasa itu sangat sesuai untuk 'membunuh' nafsu merokok yang saban hari dikaitkan dengan komplikasi kesihatan yang serius. Atas penjelasan ilmiah ini, puasa boleh dijadikan satu daripada bentuk terapi kesihatan kepada pelbagai penyakit. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar Ramadan .

Kita yakin hikmah puasa bukan sahaja mampu meningkatkan iman kepada pengamalnya. Pelbagai kebaikan kesihatan juga akan turut dirasai. Perubahan fisiologi badan berlaku pada fasa awal puasa menunjukkan sistem tubuh badan kita mampu berfungsi secara normal. Segala sel, otot dan fungsi organ tubuh terbabit secara langsung ketika perubahan fisiologi ini. Selepas berakhir separuh Ramadan, pengamalnya akan berasa badan semakin 'ringan' kerana sebahagian lemak tersimpan dalam otot dan hati digunakan sebagai sumber tenaga.

Jumlah makanan yang diambil ketika bersahur juga semakin berkurangan kerana badan sudah serasi dan beradaptasi untuk terus berpuasa. Pada sesetengah atlet, mereka akan turut berlatih sepanjang puasa, cuma corak latihan dikurangkan. Seperti yang dibincangkan, hikmah puasa itu sangat luas dan boleh dijadikan satu daripada bentuk intervensi serta pencegahan penyakit. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar bulan Ramadan.

Berita Harian X