Selasa, 20 Jun 2017 | 1:59pm

Inter-Pacific Securities dalam senarai Bursa Malaysia-i

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) memasukkan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd (Inter-Pac Securities) ke dalam senarai Organisasi Islamik Yang Mengambil Bahagian, menjadikannya firma pembrokeran saham yang ke-12 bekerjasama dengan Bursa Malaysia-i.

Ketua Eksekutif, Datuk Seri Tajuddin Atan, berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan Inter-Pac Securities sebagai sebahagian daripada Bursa Malaysia-i bersama dengan 11 lagi organisasi Islamik lain.

Katanya, dengan penambahan terbaharu itu, pelabur mempunyai pilihan Organisasi Islamik yang lebih luas untuk mewakili mereka.

"Ia selaras dengan keutamaan Bursa Malaysia-i iaitu untuk menyediakan pasaran yang kondusif kepada komuniti pelaburan syariah dan melonjakkan pertumbuhan pasaran modal Islamik secara domestik dan serantau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara Organisasi Islamik Yang Mengambil Bahagian yang lain termasuklah Affin Hwang Investment Bank Berhad; AmInvestment Bank Berhad; BIMB Securities Sdn Bhd; CIMB Investment Bank Berhad; Hong Leong Investment Bank; Jupiter Securities Sdn Bhd; Kenanga Investment Bank Berhad; Malacca Securities Sdn Bhd; Maybank Investment Bank Berhad; RHB Investment Bank Berhad dan TA Securities Holdings Berhad.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Inter-Pac Securities, Tan Mun Choy, berkata pihaknya berterima kasih kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti di atas kelulusan yang diberikan untuk menjalankan perkhidmatan permbrokeran saham Islamik.

"Kami teruja untuk memainkan peranan kami dalam inisiatif Bursa Malaysia-i bagi meluaskan lagi julat instrumen pasaran modal Islamik.

"Dengan adanya pilihan baharu untuk melabur mengikut prinsip syariah sudah pasti akan membantu kami mencapai segmen komuniti pelaburan yang lebih luas," katanya.

INFO:

*Perkhidmatan pembrokeran saham Islamik memainkan peranan penting dalam dana pelanggan atau wang amanah yang mana ia diasingkan daripada dana konvensional dan diletakkan di dalam akaun patuh syariah.

Berita Harian X