Rabu, 21 Jun 2017 | 6:05am

Serap pekerja migran dalam skim PERKESO

PADA persidangan antarabangsa di Geneva mulai 5 hingga 17 Jun 2017, nama Malaysia disebut kononnya tidak konsisten dengan Konvensyen 19, iaitu Konvensyen Kesaksamaan Layanan (Pampasan Kemalangan).

Malaysia dikatakan tidak melayan pekerja migran sama seperti pekerja tempatan apabila berlaku kemalangan pekerjaan.

Persidangan itu mendebatkan bahawa migran menyumbang kemahiran yang sangat diperlukan dan memberi sumbangan tidak ternilai kepada pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Mereka mengisi pekerjaan tidak diingini warga kita. Namun sumbangan mereka sering tidak diiktiraf sepenuhnya, dan mereka tetap terdedah kepada keadaan tidak menentu, amalan tidak adil atau layanan tidak sama rata, antara lain, kepada peningkatan risiko kemalangan dan masalah kesihatan.

Pada 1993, Malaysia membuat keputusan memindahkan skim perlindungan sosial pekerja migran daripada skim Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) kepada Akta Pampasan Pekerja dengan alasan kesukaran dihadapi dalam membayar pampasan kepada pekerja migran sebaik sahaja mereka pulang ke rumah atau diusir keluar dari Malaysia atau kepada waris mereka sekiranya berlaku kematian.

Langkah ini ditegur Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan dinyatakan sebagai tidak konsisten dengan Konvensyen ILO No. 19, menyatakan semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mesti diberi layanan sama rata dalam faktor pampasan kemalangan. Perkara ini dibangkitkan dalam ILO buat kali pertama pada 1999 dan beberapa kali sejak itu termasuk 2011 dan tahun ini ia belum selesai.

Dalam kajian kes ini pada 2011, Kerajaan Malaysia beri jaminan kepada ILO bahawa ia akan memindahkan pekerja migran kembali ke skim PERKESO. Bagaimanapun, Kajian Dasar Buruh Migran ILO di Malaysia 2016 mendapati 'tetapi tiada langkah lebih lanjut diambil dalam perkara ini.'

Pekerjaan berbahaya

Pekerja migran di Malaysia sering bekerja dalam pekerjaan berbahaya tanpa peralatan perlindungan mencukupi atau latihan. Kadar kemalangan di tempat kerja yang tinggi didokumenkan terutama dengan bilangan terbesar kecederaan dan kematian di tempat kerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan sektor pertanian, semua sektor utama pekerjaan bagi pekerja migran.

Inisiatif kerajaan untuk membabitkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pakar Kanan ILO dalam Perlindungan Sosial dari bidang Decent Work amat dihargai. Pada masa sama, meningkatkan kuantum pampasan kemalangan berkaitan kerja yang mengakibatkan kehilangan upaya sementara, hilang upaya kekal, kematian dan penyakit berkaitan pekerjaan yang menimpa warga pekerja migran tidak semestinya meletakkan mereka di landasan sama dengan peruntukan disediakan di bawah skim PERKESO.

Pada 2016, 483 kes merangkumi aduan penafian akses kepada rawatan perubatan, kemalangan yang tidak dibayar pampasan, tempat kerja berbahaya, kematian, keadaan hidup miskin, kekurangan makanan, kesukaran dalam mendapat penjagaan kesihatan dan waktu kerja yang panjang, dilaporkan.

Presiden Persatuan Binaan Master Malaysia (Master Builders Association Malaysia) ketika menjawab persoalan jumlah tinggi aduan mengenai penafian akses kepada rawatan perubatan, berkata memberi rawatan perubatan hanya untuk pekerja migran yang berdaftar di bawah skim insuran pampasan pekerja. Beliau mencadangkan supaya semua pekerja migran perlu melalui saluran betul untuk bekerja di Malaysia, tetapi ironinya ini adalah majikan sama yang mengambil pekerja migran tidak berdaftar.

Oleh itu, kebimbangan lebih besar adalah kesamarataan layanan dan kerajaan perlu mengambil tindakan untuk:

​Membangun dan melaksanakan dasar warga migran komprehensif dengan peruntukan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang realistik dan boleh diguna pakai;

​Dasar yang boleh kawal pengambilan pekerja migran dengan menggunakan skim PERKESO, dengan itu memastikan semua pekerja migran mempunyai majikan yang sah; tahu siapa majikan mereka dan mempunyai semua maklumat diperlukan berkenaan majikan mereka. Ini juga akan membantu Kerajaan Malaysia untuk mendokumenkan semua pekerja migran;

Dasar yang memastikan dalam kes kemalangan dan kematian, mangsa atau waris menerima pampasan yang sepatutnya seperti di bawah skim PERKESO. Kes ini mesti diterbitkan dan disediakan dalam domain awam untuk mewujudkan kesedaran;

Dasar selaras dengan peruntukan PERKESO kerana di bawah Akta Pampasan Pekerja, pekerja migran tidak mempunyai hak untuk cuti sakit berbayar dan lain-lain.

Majikan mesti lapor nahas

​Dasar bertujuan membasmi pita merah dan menetapkan proses suai manfaat bagi pekerja migran yang kemalangan atau kematian di tempat kerja kerana cabaran paling besar sekarang ialah kebanyakan majikan memotong gaji untuk tuntut semula kos perubatan rawatan pekerja terbabit. Sebaliknya di bawah PERKESO, adalah menjadi tanggungjawab majikan melaporkan kemalangan atau kematian di tempat kerja serta-merta supaya liabiliti majikan dan pampasan bagi pekerja/keluarga diperuntukkan dengan sewajarnya dari PERKESO.

​Majikan yang menamatkan permit kerja pekerja migran kerana mengambilcuti sakit berpanjangan perlu dihukum dengan tegas dan permit. Jika pekerja dilindungi di bawah skim PERKESO, ini tidak akan berlaku.

Dasar yang perlu dikembangkan itu juga harus mewajibkan latihan pasca ketibaan mengenai hak pekerja migran, akses kepada keadilan serta keselamatan dan kesihatan mereka. Ini juga disarankan oleh Forum Buruh Migran Asia 2015.

Kehidupan manusia begitu berharga dan kita mesti berusaha sedaya upaya melindungi dan bukan hanya fikir kehidupan pekerja migran ini sebagai satu cara menamatkan sesuatu projek atau sebagai komoditi untuk tujuan keuntungan.

Kami yakin Kerajaan Malaysia mengambil langkah konkrit untuk mengawal ketamakan korporat dan peningkatan majikan tidak bertanggungjawab dengan memindahkan kembali pekerja migran kepada skim Keselamatan Sosial Pekerja.

Penulis : Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE)

Berita Harian X