Rabu, 21 Jun 2017 | 4:28pm

772 polis KL gerakkan Op Selamat 11


TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berucap pada majlis pelancaran Op Selamat 11/2017 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di KL Sentral, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Seramai 772 anggota polis Kuala Lumpur termasuk 320 anggota trafik bertugas sepanjang dua minggu Op Selamat 11/2017 Aidilfitri bermula 18 Jun lalu hingga 2 Julai ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata ia bagi membolehkan penugasan dilakukan secara menyeluruh dan lancar selain memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan selaras tema Op Selamat, 'rumah selamat, selamat sampai ke destinasi'.

Dalam tempoh tiga hari sehingga semalam, katanya, sebanyak 638 kemalangan dicatat di seluruh ibu negara dengan satu kematian membabitkan pejalan kaki warga Nepal yang cuai ketika melintas jalan.

"Selain menekankan elemen tabiat dan sikap, Op Selamat kali ini turut memfokuskan keselesaan pengguna jalan raya agar supaya selesa dan selamat tiba ke destinasi manakala kediaman yang ditinggalkan terjamin daripada jenayah.

"Kita menerima 156 borang khas balik kampung dan membuat 973 kali rondaan di kawasan rumah yang ditinggalkan itu," katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 11/2017 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di KL Sentral, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain.

Mazlan berkata, sebanyak 176 motosikal dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan 129 kereta peronda MPV membabitkan 452 anggota termasuk tiga pegawai juga akan membantu rondaan di kawasan perumahan selain kawasan tumpuan seperti premis perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Katanya, tumpuan diberi kepada 10 laluan lokasi panas kerap berlaku kemalangan iaitu Jalan Kepong, Jalan Cheras, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi.

"Penugasan dalam op kali ini tidak hanya membabitkan anggota trafik, tetapi semua elemen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita bukan saja mahu mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan tetapi juga membendung kes pecah rumah ke tahap paling minimum," katanya.

Berita Harian X