Rabu, 21 Jun 2017 | 4:30pm

Forest City bakal miliki 3 padang golf

KETUA Pegawai Strategi Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Dr Yu Runze. - Foto Mohd Azren Jamaludin

NUSA JAYA: Fasa kedua pembangunan projek mega di atas pulau buatan, Forest City di Gelang Patah, Johor, terus rancak dengan pembinaan tiga padang golf bertaraf antarabangsa dan sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Ketua Pegawai Strategi Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), Dr Yu Runze, berkata padang golf 18 lubang dan hotel dilengkapi 306 bilik itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 809.3 hektar di Forest City, dengan kos pembangunan sebanyak RM1.2 bilion.

"Satu daripada padang golf berkenaan direka bentuk oleh Jack Nicklaus II iaitu anak lelaki kepada legenda golf dunia (Jack Nicklaus) dan kita menjangkakan ia akan disiap pada suku tahun pertama 2018.

"Selain itu, kita juga menjangkakan sebuah pusat kesihatan dari Taiwan juga bakal beroperasi di Forest City pada Julai ini, manakala Sekolah Antarabangsa Shattuck St Mary pula bakal memulakan operasi mereka pada Ogos tahun depan.

"Secara jelasnya, kita dapat melihat kerancakkan fasa kedua di Forest City dan pembangunan itu terutama pembinaan dua lagi padang golf akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya pada sidang media di Forest City, di sini.

Hadir sama, Nicklaus II dan Pengerusi Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA) Kol (B) Mohd Jamal Salleh.

 

Runze berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah jeti feri di Forest City bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian.

 

"Melihat kepada kerancakan pembangunan yang semakin pesat di Forest City, kita juga mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah jeti feri di sini (Forest City) dan masih dalam peringkat perbincangan bersama Jabatan Imigresen Johor dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

 

"Kita juga dalam peringkat perbincangan khususnya mengenai reka bentuk pembinaan jeti dan juga aspek lain termasuk dengan pihak berkaitan di Singapura kerana kemungkinan feri ini dapat beroperasi di Forest City menuju ke Tuas di Singapura," katanya.

INTRO

Fasa kedua pembangunan projek mega di atas pulau buatan, Forest City dekat sini, terus rancak dengan pembinaan tiga padang golf bertaraf antarabangsa dan sebuah hotel bertaraf lima bintang.

INFO

# Kos pembangunan RM1.2 bilion

# Padang golf dan hotel dibangunkan atas keluasan tanah 809.3 hektar

 

 

Berita Harian X