Rabu, 21 Jun 2017 | 4:57pm

'Syawal Ini' lagu raya pertama Ning


PENYANYI bersuara soprano, Ning Baizura. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Lagu 'Syawal Ini' memberi makna tersendiri bagi penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura.

Selain menjadi lagu raya pertama daripadanya selepas lebih dua dekad bergelar anak seni, karya dalam nuansa etnik kreatif itu boleh dianggap sebagai refleksi kehidupannya hari ini.

"Saya mahukan sebuah karya yang boleh mencerminkan diri kita dan apa yang berlaku di sekeliling.

"Diakui, banyak peristiwa berlaku pada Ramadan kali ini, sekali gus memberi cabaran untuk kita meneruskan kehidupan.

"Antaranya kejadian buli yang mengejutkan negara dan secara peribadi pula, saya hampir kehilangan ayah disebabkan terjatuh, baru-baru ini.

"Mujurlah usianya masih panjang dan Alhamdulillah, keadaan kesihatannya semakin baik.

"Kiranya, lagu ini menjadi simbolik kita sebagai manusia untuk terus tabah dalam menghadapi cabaran dan hendaklah kita berbuat baik kepada semua," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia, di sini.

Pada majlis terbabit, Ning sempat memperdengarkan lagu ciptaan Alwyn Santiago dan lirik oleh Shah Shamshiri itu.

Mengenai penghasilan album sulungnya, Ning berkata, sebanyak 200 karya sudah diperdengarkan sebelum proses menyenarai pendek lagu yang dirasakan sesuai dilakukan.

"Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, saya akan masuk ke studio rakaman selepas Hari Raya dan album dijangka siap sepenuhnya sekitar November depan," katanya.

Berita Harian X