Jumaat, 23 Jun 2017 | 1:10am

Simic ledak 4 gol atasi skuad B-22

Penjaga gol bawah 22 negara (B22) Haziq Nadzli (kiri) gagal menendang bola yang melintasi hadapan gawang sementara pemain Melaka Mmarko Simic terlepas peluang pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Hang Jebat malam ini. - Foto BERNAMA

MELAKA:  Skuad Liga Super Melaka United  (MU) menampilkan persembahan berbeza selepas membenam skuad Bawah 22 (B22) 5-1 pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee lebih dulu mencipta jaringan menerusi tandukan Safawi Rasid seawal minit kedua perlawanan.

Bahagian tengah yang lebih dikuasai pelawat menyaksikan Shafiq Ahmad hampir menambah gol kedua skuad muda negara pada minit ke-21, namun rembatannya sekadar tersasar ke kanan gawang MU.

Cuba bangkit dari menerima tekanan berterusan, skuad bimbingan Eduardo Almeida mula mengatur gerak dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi jaringan R Surendran.

Penyerang baharu yang dilepaskan Negeri Sembilan, Marko Simic membuktikan dia mampu menjadi taruhan buat skuad MU di Liga Super selepas turut mencetak dua gol peribadinya pada minit ke-46 dan 49 untuk mendahului 3-1.

Simic melengkapkan hatrik pada minit ke-63 dan jaringan keempatnya hadir pada minit ke-65 selepas menerima hantaran Jasmer Mehat.

Kemenangan ketiga berturut-turut MU pada aksi persahabatan selepas NS dan Johor Darul Ta'zim II, memberi gambaran skuad Hang Tuah mampu memberi saingan di pentas Piala Malaysia musim ini.

Berita Harian X