Sabtu, 24 Jun 2017 | 7:18am

Membudaya al-Quran dalam kalangan OKU


Maahad Tahfiz Faqeh

KUALA LUMPUR : Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Perumpamaan Melayu itu menjadi pembakar semangat pada Pengasas Kaedah Faqeh, Nor Aziah Mohd Daud dalam usaha memartabatkan pengajaran dan pendidikan al-Quran untuk anak Orang Kurang Upaya (OKU).

Kejayaan Nor Aziah memperkenalkan kaedah bacaan al-Quran untuk anak istimewa bukan saja dianggap pencapaian paling mulia di sisi agama, malah kemampuan berkongsi keindahan kalam Allah untuk golongan itu diiktiraf di pelbagai peringkat.

Kaedah dibangunkan pada 2009 itu, bukan saja yang pertama di negara ini, tetapi mendapat banyak pengiktirafan termasuk Anugerah Ibnu Sina, pingat emas bagi program i-Fakih (aplikasi iPad) menerusi kerjasama Universiti Malaya (UM) dan pingat emas di The British Invention Show 2013 (BIS 2013), London menerusi kerjasama Universiti Malaysia Perlis.

Nor Aziah berkata, pengajaran al-Quran dalam kalangan OKU sebenarnya mendapat perhatian dunia, tetapi disebabkan tiada modul khusus dibangunkan, ia gagal diketengahkan.

"Ramai menganggap golongan itu adalah anak syurga dan tidak perlu menitikberatkan agama untuk mereka. Justeru, ada yang menggunakan alasan itu untuk tidak mengajar membaca al-Quran.

"Masyarakat perlu melakukan sesuatu untuk memastikan al-Quran boleh dipelajari, khususnya dalam kanak-kanak OKU.

"Ada pelajar OKU yang hanya mampu memandang, memegang dan mendakap al-Quran, tetapi tidak dapat membacanya. Ini memberi inspirasi pada saya untuk meneroka kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran untuk mereka," katanya kepada BH.


Maahad Tahfiz Faqeh

Lebih banyak modul

Nor Aziah dan kumpulan kerja Yayasan Faqeh, sedang memperkemaskan modul untuk anak yang menghadapi masalah pembelajaran seperti sindrom down, celebral palsi, hiperaktif (ADHD), autisme dan disleksia.

"Pembelajaran untuk setiap anak istimewa berbeza. Kita perlu sesuaikan dengan keperluan mereka. Bagi anak yang sudah terdedah dengan al-Quran, Insya Allah ia mudah meresap ke dalam jiwa mereka," katanya.

Antara program dibangunkan ialah QurAnis Workshop dan Program OKU Berdoa yang dianjurkan sejajar dengan sambutan Hari OKU Sedunia sejak 2015 lalu.

"Program dengan Kerjasama Gabungan Mahasiswa Pengajian Islam diketuai Kelab Sukarelawan Dakwah OKU, Kelab Sahabat FAQEH@ Universiti Sains Islam Malaysia (SaF@USIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Masjid Negara dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH), antara pendedahan kepada masyarakat untuk memberi perhatian pada isu ini," katanya.


KELAS anak istimewa akan disertai ibu bapa murid itu sendiri.

Mahu OKU merasai indahnya al-Quran

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kategori Guru, Kementerian Pendidikan 2014 ini, menyifatkan misinya membudayakan al-Quran dalam kalangan anak istimewa sangat mustahak dan menuntut banyak pengorbanan.

"Saya menempuh perjalanan sejauh 140 kilometer saban minggu, meninggalkan keluarga di Temerloh untuk ke Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), Universiti Malaya (UM) bagi melaksanakan peranannya sebagai perunding dan memantau perjalanan program pengajian agama dan al-Quran untuk anak istimewa. 

"Peluang itu saya gunakan untuk menyudahkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang al-Quran dan hadis," katanya.

Beliau membangunkan kaedah itu sedikit demi sedikit sehingga pada 2009, sebelum pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh memintanya menyertai pertandingan inovasi sempena Hari Guru 2010.

Pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh Jaya, memberi kerjasama dan menerima pakai sebagai salah satu kaedah dalam pembelajaran dan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) - pendidikan khas bermula 2011.


ANTARA persembahan pada Program OKU Berdoa 2.0 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, pada Disember 2016. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Buku panduan untuk orang pekak

Terbaharu, beliau sedang membangun dan menyusun buku panduan al-Quran Faqeh Versi Dua, iaitu untuk orang pekak menggunakan kod tangan Qatar.

"Pelajar saya di Maahad Tahfiz Faqeh,  Fathrurahman Shahhuddin, 12, berjaya menghafal al-Quran untuk tempoh setahun seminggu menggunakan kod tangan sepenuhnya. Ini adalah projek perintis dibangunkan dengan kerjasama UM dan rakan yang lain lagi," katanya.

Beliau berharap kaedah itu bakal diguna pakai di seluruh dunia, selain mahu terus meneroka ilmu pedagogi berkaitan al-Quran untuk anak istimewa.

"Saya mahu meletakkan al-Quran tempat yang tertinggi dalam kalangan kanak-kanak OKU. Biar secara perlahan-lahan, tetapi saya pasti suatu hari ia akan berjaya dilaksanakan," katanya.


PENGASAS Kaedah Faqeh, Nor Aziah Mohd Daud. - Foto Ghazali Kori

Profil
Nor Aziah Mohd Daud

  • Asal: Temerloh Pahang
  • Umur: 51 tahun
  • Pendidikan : Sarjana Usuluddin, Universiti Malaya (Pengkhususan Pengajian Al-Quran untuk orang pekak)
  • Bekas Guru Pendidikan Khas di SMK Temerloh Jaya, Pahang
  • Pemangku Pengetua Maahad Tahfiz Faqeh
  • Naib Presiden, Yayasan Faqeh Setiausaha Persatuan Jurubahasa Bahasa Isyarat Muslim Malaysia.
  • Antara anugerah dimenangi Kaedah Fakih:

    • Pingat emas di The British Invention Show 2013 (BIS 2013), London, Barbican Centre pada 26 Oktober 2013.
    • Pingat emas Quran Typography pada Persidangan Ketiga Inovasi Islam 2013, USIM I-Inova 2012, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
    • Anugerah Khas Persatuan Inovator dan Saintis Muda Indonesia 2012.
    • Pingat emas dan Anugerah Khas Ibnu Sina di i-INOVA 11, 2011.
    • Guru Inovasi Kebangsaan sempena Hari Guru Kebangsaan 2010.
    • Johan Inovasi dalam kategori komuniti anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi Zon Timur.

    Pembabitan dalam badan bukan kerajaan (NGO) :

  • Naib Pengerusi, Yayasan Faqeh.
  • Penasihat, Sahabat Faqeh Temerloh dan Makmal Faqeh Intelek, SMK Temerloh Jaya.
  • Ahli Pianis, Persatuan Anak Istimewa Pahang.
  • Perunding Motivasi Untuk Ibu bapa Anak-anak  Syurga

  • ANTARA persembahan pada Program OKU Berdoa 2.0 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, pada Disember 2016. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

    320 dibaca
    Berita Harian X
    Teruskan ke laman Berita Harian »