Ahad, 25 Jun 2017 | 7:00am
MODEL plug-in hibrid premium terkini CKD. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

X5 xDrive40e mewah, menyerlah

BMW X5 adalah model yang kenderaan aktiviti sukan (SAV) premium yang menjadi 'batu asas' bagi menonjolkan kejayaan seseorang dalam kehidupan.

Dengan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini pemasangan tempatan (CKD) itu meningkatkan lagi 'martabat' seseorang 'dek' kerana kemewahan dan keupayaan prestasinya.

X5 xDrive40e sekali lagi akan memacu masa depan industri automotif premium apabila memperkenalkan ambien yang mewah dan fungsi inovatif, di samping teknologi canggih masa depan daripada BMW i kepada peminat automotif di negara ini.

Menjadi model ke-11 yang menyertai portfolio CKD di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park, model itu mengetengahkan kandungan tempatan, pemasangan dan peralatan ujian yang baharu di kilang berkenaan.

"BMW X5 xDrive40e baharu membuka era baru BMW EfficientyDynamics, selain menawarkan prestasi luar biasa dan mobiliti elektrik sepenuhnya dengan emisi sifar.

"Selain memperkenalkan pengalaman pemanduan yang baru, bersama kombinasi pemanduan dinamik dan elektrik sepenuhnya di dalam sebuah kenderaan aktiviti sukan," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.


PEMACU masa depan industri automotif premium. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Berkuasa dan ekslusif

BH Auto berpeluang memandu uji selama empat hari model hibrid ergonomik itu untuk berkongsi dengan peminat BMW di seluruh negara mengenai reka bentuk, kuasa dan kemampuannya.

Sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri pada model itu menyerlahkan BMW X5 xDrive40e sebagai sebuah kenderaan aktiviti sukan yang klasik, pada masa sama menunjukkan kemampuan hibridnya yang unik.

Ciri paling ketara ialah sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan.

Sistem ekzos pada BMW X5 xDrive40e pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal.

Karakter dinamik BMW X5 xDrive40e dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai satu ciri standard dengan badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium selain rim aloi ringan dua jejari M bersaiz 19 inci.


PAPARAN skrin 10.25 inci untuk kemudahan penumpang belakang. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Teknologi BMW eDrive

BMW X5 xDrive40e baharu memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin petrol empat silinder bersesaran dua liter dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu segerak yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan.

BMW X5 xDrive40e baharu dijana enjin pembakaran dalaman 2.0 liter menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

Sebagai enjin petrol empat silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group, enjin SAV itu berupaya menjana kuasa maksimum 245hp dan tork puncak 350Nm, sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83kW dengan tork maksimum 250Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta.


MENGGUNAKAN enjin 2.0L yang menjana 2.45hp. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pecutan maksimum 210km/j

Gabungan rangkaian kuasanya membolehkan BMW X5 xDrive40e memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa cuma 6.8 saat, manakala kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210km/j dan tork puncak 450Nm.

Ketika berada dalam mode elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120km/j.

Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e bagaimanapun menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.

Bagaimanapun, tanpa mengira nisbah kuasa daripada enjin atau motor elektrik, sistem xDrive memastikan cengkaman yang terbaik dalam apa juga cuaca dan kondisi permukaan jalan raya.


BMW X5 xDrive40e baharu. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ikut kehendak pemandu

Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive.

Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu BMW X5 xDrive40e baharu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery.

Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi.

Apabila bertukar kepada mod MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya yang menawarkan jarak maksimum 30km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j.

Mod ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya.

Mod talaan kenderaan

Sebagai tambahan, BMW X5 xDrive40e juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control sebagai satu ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

Setiap mode ini mengubah suai pemetaan pendikit, karekteristik stereng, maklum balas transmisi Steptronic lapan kelajuan dan suspensi Adaptive M dengan talaan suspensi sportnya, Dynamic Damper Control yang ditala khas dan suspensi udara yang dipasang sebagai standard pada SAV ini.

Teman pintar pemandu

BMW X5 xDrive40e baharu didatangkan dengan kluster instrumen panel berwarna hitam yang mempunyai fungsi hibrid yang spesifik dan pelbagai bacaan lain.

Paparan kenderaan sedia untuk dipandu daripada "OFF" kepada "READY" diposisikan pada bahagian bawah suis kaunter rev enjin, sebaik sahaja butang start/stop ditekan.

Banyak opsyen turut ditawarkan seperti sistem bantuan pemanduan yang terdiri daripada Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning. Ciri-ciri lain termasuklah Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang.

BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna perak (Glacier Silver), putih (Mineral White), kelabu (Space Grey) dan hitam (Carbon Black) bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.

Harga runcit di atas jalan, tidak termasuk insurans, termasuk Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama 5 Tahun daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Secara Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) ialah RM582,800.


BMW X5 xDrive40e dengan rekaan SUV menawan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Info:
BMW X5 xDrive40e

  • Harga RM582,800
  • Enjin 2.0L 4-silinder, transmisi Steptronic lapan kelajuan
  • 245hp dan tork puncak 350Nm
  • 0 hingga 100km/j dalam masa 6.8 saat
  • Suis tetapan Driving Experience Control
  • Navigation System Professional dengan monitor paparan bersaiz 10.25 inci
  • Sistem bantuan pemanduan : Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning; Park Distance Control (PDC); Surround View serta kamera belakang
  • BMW ConnectedDrive Services : hadir dengan perkhidmatan Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services
Berita Harian X