Isnin, 26 Jun 2017 | 7:10pm

Punca gegaran pesawat disiasat - AirAsia X

KUALA LUMPUR: AirAsia X Berhad (AirAsia X) sedang menjalankan siasatan mengenal pasti punca insiden gegaran pesawat Air Asia X D7237 ketika dalam perjalanan ke Malaysia dari Perth, Australia, semalam.

 

Syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan hari ini mengesahkan siasatan sedang dijalankan bersama syarikat pengeluar enjin pesawat terbabit, Rolls-Royce serta pihak penerbangan tempatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu.

 

"Kami ingin menegaskan AirAsia Group sentiasa mematuhi jadual penyenggaraan seperti yang ditetapkan syarikat pengilang.

 

"Di Australia, AirAsia Group juga sentiasa lulus pemeriksaan audit keselamatan yang dijalankan pihak penerbangan, " katanya.

 

Katanya, pihak Air Asia X sentiasa komited untuk memastikan keselamatan penumpang agar sentiasa tiba ke destinasi dengan selamat.

 

Semalam, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada jam 6.50 pagi itu dilaporkan terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal.

 

Pesawat itu dilaporkan mengalami gegaran kuat kira-kira sejam setengah selepas berlepas dari Perth dan kemudiannya berjaya mendarat di lapangan itu pada jam 10 pagi.

Berita Harian X