Selasa, 27 Jun 2017 | 12:15am

Penumpang AirAsia X dikejutkan bunyi letupan, gegaran


Pesawat AirAsia X D7237

KUALA LUMPUR: "Kami dengar bunyi letupan dari luar pesawat sebelum kapal terbang itu mula bergegar kuat," kata Alia Abdul Rahim, antara 359 penumpang pesawat AirAsia X D7237 yang berkongsi pengalaman menaiki penerbangan itu, kelmarin.

Alia, 23, penuntut kejuruteraan Universiti Murdoch di Perth, berkata sebelum kejadian, beliau tidak sabar untuk pulang ke tanah air untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang menetap di Shah Alam.

Bagaimanapun, katanya, rasa keseronokan itu hilang apabila penumpang tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi letupan kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan) diikuti gegaran kuat ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur.

"Selepas itu kami mendengar juruterbang membuat pengumuman supaya orang ramai tidak panik dan berkata gegaran akibat masalah teknikal. Beliau meminta orang ramai supaya berdoa dan akan berpatah balik ke Perth.


Alia (kiri) bersama ibunya ketika berada di Malaysia.

"Bagaimanapun, kami tahu ada sesuatu yang tidak kena dan ini menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penumpang kerana pesawat itu bergegar seolah-olah kami sedang duduk di atas mesin basuh," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Alia berkata, beliau dan penumpang lain berasa lega apabila pesawat itu berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada jam 10 pagi (waktu tempatan).

"Sebaik pesawat mendarat, kedua-dua juruterbang keluar dari kokpit dan bersalam dengan semua penumpang.

"Yang turut kedengaran beberapa penumpang memuji kecekapan juruterbang sebelum mereka keluar dari pesawat," katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) jam 5 pagi tadi menaiki penerbangan gantian disediakan AirAsia X, D7689.

Seorang lagi penumpang, Damien Stevens memberitahu CNN, keadaan di dalam pesawat itu meriah sebaik ia mendarat selamat dengan penumpang bertepuk tangan apabila juruterbang keluar untuk bersalam dengan mereka.

Stevens turut memuji kecekapan juruterbang pesawat yang berjaya mendaratkannya dengan selamat selepas hampir 90 minit mereka mengharungi gegaran kuat di dalam kapal terbang berkenaan.

Kelmarin, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada jam 6.50 pagi itu, terpaksa berpatah balik berikutan masalah teknikal.

Penumpang mendakwa mendengar bunyi letupan pada bahagian enjin kira-kira 90 minit selepas berlepas, diikuti bunyi gegaran sepanjang penerbangan berpatah balik.

Berita Harian X