Selasa, 27 Jun 2017 | 12:28am

AirAsia X diarah periksa enjin


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: AirAsia X diarah memeriksa enjin semua pesawat Airbus 330 (A330) yang digunakannya susulan kejadian pesawatnya terpaksa berpatah balik ke Perth, pagi semalam, akibat masalah teknikal.

Pesawat yang membawa 359 penumpang itu terpaksa berpatah balik ke Perth selepas 90 minit berlepas akibat letupan kecil pada salah satu enjin disusuli gegaran seperti mesin basuh sehingga ia mendarat semua di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi meminta syarikat penerbangan itu menghubungi pengeluar pesawat, Airbus dan pihak berkaitan bagi merungkai masalah enjin Rolls Royce Trent 700 secepat mungkin.

Katanya, AirAsia X dan pihak berkaitan, termasuk pengeluar pesawat wajar mengambil serius terhadap kecenderungan masalah teknikal ketika penerbangan bagi menjamin aspek keselamatan industri pengangkutan udara negara.

"Airbus sebagai syarikat pembuat pesawat perlu bertanggungjawab apabila timbul masalah, justeru mereka harus bekerjasama dengan Rolls Royce (pengeluar enjin) untuk meneliti masalah enjin," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas insiden pesawat AirAsia X, D7237 yang berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur, jam 7 pagi semalam, waktu tempatan, terpaksa berpatah balik ketika berada di ruang udara, dekat perairan Carnarvon berikutan masalah teknikal.

Juruterbang yang mengendalikan pesawat jenis A330 dengan 359 penumpang itu terpaksa berbuat demikian selepas menyedari satu daripada dua enjin kapal terbang berkenaan mengalami masalah sehingga menyebabkan gegaran teruk.

Bagaimanapun, semua penumpang selamat apabila pesawat itu mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, kira-kira jam 10 pagi, waktu tempatan.

Ab Aziz berkata, AirAsia X memaklumkan pihaknya mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan insiden itu menerusi laporan yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), kelmarin.

"Antara punca awal dikenal pasti adalah masalah teknikal, malah AirAsia ada mengakui gegaran mungkin berpunca daripada bilah turbin enjin tercabut.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita rumuskan insiden ini, justeru beri ruang kepada AirAsia X untuk merungkai punca sebenar masalah.

"Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) turut mengeluarkan larangan penerbangan terhadap pesawat itu bagi penyiasatan dan ia dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari," katanya.

INFO

* 3 kejadian membabitkan enjin Rolls Royce Trent 700 sejak Mei lalu

Berita Harian X