Selasa, 27 Jun 2017 | 7:00am

Jentera Itali terus mengganas, serba boleh


MOTOSIKAL multistrada jadi dambaan pencinta sukan permotoran. - Foto Eizairi Shamsudin

SELEPAS hampir empat tahun pencen daripada dunia 'touring', penulis terpaksa kembali membuka 'kitab' selepas berpeluang menguji jentera terbaharu, Ducati Multistrada Enduro keluaran 2016.

Sekilas pandang, jentera buatan Itali dengan sesaran enjin 1198cc ini seakan memberi pelbagai bayangan mengenai kepuasan yang bakal dialami sebaik pendikit dipulas.

Tepat jam 11 malam selepas waktu kerja melabuhkan tirai, sesi tunggangan terus menyusul dengan kunci disemat dalam beg kerana jentera ini menggunakan sistem kunci elektronik, sekali gus membolehkan enjin dihidupkan dalam jarak sekitar dua meter.

Destinasi adalah Pantai Puteri, Melaka, iaitu perjalanan sejauh 146 kilometer bagi menjamah roti canai garing yang disajikan asam pedas pari sebagai juadah sahur.

Selesai mengisi petrol RM50 menggunakan RON95 hingga tolok pada papan pemuka LCD menunjukkan meter penuh, penulis terus menukar mod tunggangan kepada 'touring' menerusi butang sebelah kiri pada bar pemegang.


DUCATI Multistrada Enduro. - Foto Eizairi Shamsudin

Tanggapan bahawa jentera ini sekadar untuk perjalanan santai ternyata meleset apabila deruman enjin 160 kuasa kuda lebih daripada memadai bagi memecut jentera yang ketika ini menjangkau berat 362 kilogram ini - ditambah penulis dan pembonceng.

Trafik yang agak lengang membolehkan keupayaan sebenar jentera dilengkapi penghadang angin boleh laras ini diuji sepenuhnya, lantas penulis memberanikan diri menghenjut pendikit sehingga meter memaparkan angka 235 kilometer sejam (kmj).

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa dua jam akhirnya menjadi sekitar 30 minit, namun penulis merasakan kelajuan tunggangan langsung tidak menyerupai angka kelajuan yang dipaparkan kerana keselesaan dijana penyerap hentakan boleh laras, Sachs jentera ini.

Malah, teknologi Ducati Testastretta Desmodromic Variable Timing (DVT) membuatkan penggunaan petrol untuk perjalanan pergi dan balik, selain dengan kelajuan sedemikian adalah sekitar RM42.

Pelaburan Ducati dengan memasukkan 266 komponen baharu bagi menjadikan jentera Multistrada ini menjadi dambaan pencinta sukan permotoran ternyata berbaloi.

Keinginan menguji masih membara, justeru kekangan terpaksa menjengket ketika berhenti di lampu isyarat walaupun ketinggian penulis 175 sentimeter bukan penghalang untuk meneroka kebolehan jentera ini menyusuri cabaran 'off road'.


DUCATI Multistrada Enduro. - Foto Eizairi Shamsudin

DUCATI Multistrada Enduro. - Foto Eizairi Shamsudin

Lantas, sesi penggambaran di trek tanah merah, dekat Saujana Utama menjadi medan untuk penulis menyelami debaran mengemudi jentera ini menggunakan mod 'enduro'.

Sebaik butang menu ditekan, isyarat pada papan pemuka LCD terus mengaktifkan penetapan elektronik terhadap penyerap hentakan bagi memastikan tunggangan menyusuri bentuk muka bumi yang tidak rata dan bercerun lebih terkawal serta selesa.

Amat mengejutkan apabila 'kegilaan' penulis memerah pendikit ketika menghampiri selekoh tidak rata sekadar berakhir dengan 'power slide' ibarat pelumba 'moto GP', terkawal dan bagai penunggang profesional.

Pengalaman menunggang jentera 'buas', namun penuh kesantunan buatan Itali ini tidak mungkin dilupakan, malah terbit persoalan di benak, sama ada ingin melupakan dunia 'super sport' angkara dilamun cinta kecanggihan dan ketangkasan Ducati Multistrada 1200 Enduro.


ENJIN 160 kuasa kuda lebih daripada memadai bagi memecut jentera yang ketika ini menjangkau berat 362 kilogram ini. - Foto Eizairi Shamsudin

INFO

Spesifikasi

Sesaran: 1198.4 cc

Jenis: Sejukan cecair, silinder L-twin

Sistem bahan api: Suntikan bahan api, ride-by-wire

Transmisi: 6 kelajuan

Kerangka: Trellis, keluli tegangan tinggi

Sistem suspensi depan: Fork boleh laras 48 mm.

Sistem suspensi belakang: Suspensi tunggal Sachs boleh laras, spring pengaktifan kawalan jauh sedia laras, lengan ayun Aluminium sebelah.

Ketinggian pelana: 825 - 845 mm

Berat kering: 209 kg

Kapasiti bahan api: 20 liter

Harga:

    * Multistrada 1200 Enduro Kelabu (CBU) 2016 - RM157,999 termasuk GST

    * Multistrada 1200 Enduro Kelabu - RM138,999 termasuk GST

    * Multistrada 1200 Enduro Merah - RM137,999 termasuk GST

Berita Harian X