Selasa, 27 Jun 2017 | 1:28pm

Siasatan AirAsia X tumpu 3 komponen


Sebuah pesawat AirAsia Pesawat Airbus A330 dari Perth yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Australia berikutan masalah teknikal. - Foto NSTP/Google images

KUALA LUMPUR: Penyiasatan mengenai insiden kegagalan enjin pesawat AirAsia X akan terarah kepada tiga komponen dan dijangka selesai November ini.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menjelaskan, siasatan awal mendapati kerosakan enjin pesawat jenis Airbus 330 (A330) itu menyebabkan kerangka utamanya mengalami gegaran sederhana.

Sehubungan itu, kru penerbangan yang diketuai juruterbang mengambil keputusan berpatah balik ketika melintasi ruang udara Carnarvon, dekat perairan barat Australia sebelum membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Perth.

"Rentetan daripada insiden berkenaan, kita bahagikan sektor penyiasatan kepada tiga iaitu mengambil keterangan kakitangan yang terbabit dan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap enjin pesawat.

"ATSB sudah membuat turun maklumat daripada perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) untuk dianalisis," katanya dalam lampiran laporan penyiasatan, AO-2017-066 yang dipaparkan di laman web rasmi biro berkenaan.

ATSB antara lain mengemukakan beberapa butiran penyiasatan dan mengklasifikasikan insiden jam 8.16 pagi waktu tempatan Ahad lalu itu sebagai serius walaupun tidak membabitkan kecederaan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, masalah enjin jenis Rolls-Royce Trent 700 yang digunakan A330 itu adalah kejadian ketiga seumpamanya sejak Mei lalu, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penumpang dan pakar penerbangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, semalam dilaporkan berkata, AirAsia X wajar mengendalikan pemeriksaan menyeluruh terhadap semua pesawat A330 miliknya bagi merungkai masalah enjin berkenaan.

Katanya, syarikat penerbangan tambah rendah itu harus menghubungi pihak berkaitan, khususnya pengeluar pesawat iaitu Airbus dan Rolls-Royce secepat mungkin.

Pesawat AirAsia X, D7237 yang berlepas dari Lapangan Terbang Perth, Ahad lalu dilaporkan mengalami masalah enjin apabila bilah turbinnya tercabut, sekali gus menyebabkan seluruh kapal terbang bergegar.

Mengambil kira keselamatan 359 penumpang, juruterbang mengambil keputusan berpatah balik dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Perth, kira-kira jam 10 pagi, waktu tempatan.

INFO
Pengeluar pesawat: Airbus
Model: A330-343X
Nombor pendaftaran: 9M-XXE
Nombor siri: 1075
Operator: AirAsia X
Jenis operasi: Pengangkutan udara berkapasiti tinggi
Sektor: Jet
Kerosakan pesawat: Dalam siasatan
Lokasi pelepasan: Perth, barat Australia
Destinasi: Kuala Lumpur.

Berita Harian X