Selasa, 27 Jun 2017 | 4:48pm
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

BAM yakin ilmu Misbun mantapkan pemain

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan harapan tinggi dengan kepulangan semula Datuk Misbun Sidek yang memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki, Isnin ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berharap kehadiran Misbun mampu menjawab persoalan yang sering diajukan dalam usaha mencari pengganti kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Harapan saya agar Datuk Misbun bersama dengan Chong Wei dapat melahirkan pemain pelapis perseorangan lelaki yang bertaraf dunia. 

"Semua rakyat Malaysia khususnya peminat badminton tertanya tanya siapakah selepas Chong Wei, diharapkan kita mampu menjawab dalam masa akan datang dengan hadirnya Datuk Misbun," katanya.

Kredibiliti Misbun sebagai jurulatih sememangnya tidak boleh dipertikaikan dengan beliau adalah individu bertanggungjawab membawa Chong Wei meraih pingat perak Olimpik pertamanya pada 2008 di Beijing.

Malah, Chong Wei sendiri turut memainkan peranan dalam usaha memujuk Misbun kembali ke BAM sejak meninggalkan badan induk itu pada hujung 2011 kerana tidak sebulu dengan pihak pengurusan.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki, Sairul Amar Ayob, teruja bekerjasama dengan Misbun yang pernah menjadi sifunya ketika bergelar pemain selain mahu menuntut ilmu kejurulatihan.

"Selain membimbing pemain, saya juga akan menuntut ilmu kejurulatihan daripada Misbun dan berazam akan memberi kerjasama 100 peratus.

"Sebagai pemain memang saya pernah berada di bawah jagaannya (Misbun) dan semua sudah tahu beliau sangat tegas.

"Beliau mementingkan komitmen dari pemain dan sangat tegas dalam jadual latihan setiap hari," katanya.

Selain Sairul, dua lagi jurulatih yang akan berada di bawah Misbun ialah Hendrawan dan Indra Wijaya.

Berita Harian X