Selasa, 27 Jun 2017 | 7:54pm

Budak 5 tahun melecur terkena mercun

NURUL Firzana cedera di beberapa bahagian anggota badannya selepas terkena mercun yang dimain rakan abangnya di Terminal Bas Merbau Berdarah, Sungai Panjang, kelmarin. - Foto Mohd Shukor Amin

SABAK BERNAM: Seorang budak perempuan cedera paha kiri dan melecur perut tahap dua, selepas terkena mercun yang dimain rakan abangnya di Terminal Bas Merbau Berdarah, Sungai Panjang, pada hari pertama Aidilfitri.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nurul Firzana Mohd Abdullah, 5, turut luka ketiak kiri, lengan dan paha kanan.

Kakak mangsa, Nurul Faizura, 23, berkata, pada hari kejadian adik bongsu daripada sembilan beradik itu bersama dua lagi adiknya berusia 17 dan 10 tahun pulang beraya di rumah nenek mereka di Kampung Merbau Berdarah.

"Ketika dalam perjalanan, adik yang berusia 17 tahun ternampak rakannya bermain mercun lalu memberhentikan motosikal.

"Beberapa minit selepas itu, Nurul Firzana tiba-tiba meraung dipercayai terkena serpihan mercun, " katanya.

Katanya, Nurul Firzana dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menerima rawatan.

"Adik dipindahkan ke Hospital Teluk Intan bagi jalani pembedahan. Kami membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam pada hari sama.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, jadi biarlah polis jalankan siasatan berhubung perkara ini, " katanya.

Berita Harian X