Rabu, 28 Jun 2017 | 1:16pm

'Saya bangga dengan mereka'


- Foto ihsan Facebook Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR:  Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, memuji tindakan kru penerbangan AirAsia X pesawat D7237 dalam insiden pesawat bergegar dan terpaksa berpatah balik ke Perth, Australia.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, Fernandes menyifatkan kru penerbangan yang diketuai Kapten Ibrahim itu menjalankan tugas dengan cemerlang apabila membawa pulang semua penumpang dengan selamat.

"AirAsia tidak membuat enjin dan semua syarikat penerbangan berdepan masalah kegagalan enjin.

"Bagaimanapun, apabila ia (masalah enjin) berlaku, ia memerlukan tindakan bijak daripada seorang juruterbang yang hebat.

"Saya amat bangga dengan mereka" katanya.

Tony berkata, emel dan mesej aplikasi WhatsApp yang diterimanya menyatakan pengumuman Ibrahim membantu menenangkan penumpang.

"Oleh kerana kejadian ini berlaku kepada syarikat penerbangan tambang rendah, sebahagian media dan pakar penerbangan membuat dakwaan tidak berasas dan melupakan tindakan cemerlang kru kami," katanya.

Ahad lalu, pesawat AirAsia X D7237 yang dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lumpur, bergegar kira-kira sejam setengah selepas berlepas sebelum berpatah balik.

Pesawat selamat mendarat di Perth tiga jam selepas berlepas.

Berita Harian X