Rabu, 28 Jun 2017 | 6:29pm
Datuk Zaid Ibrahim. - Foto NSTP/Sairien Nafis

'Juruterbang berdoa tak salah, sebaliknya perlu dipuji'

KUALA LUMPUR: Juruterbang pesawat AirAsia X, D7237 tidak membuat sebarang kesalahan apabila meminta penumpang berdoa, malah perlu dipuji kerana berjaya menenangkan mereka ketika mengharungi detik cemas.

 

Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), berkata tindakan juruterbang itu juga tidak melanggar kod etika atau sikap profesion kru pesawat terbabit. 

 

Malah, katanya, berdoa sudah menjadi kelaziman mana-mana individu untuk memohon perlindungan daripada Tuhan ketika menghadapi sebarang dugaan.

 

" Apa salahnya kalau juruterbang meminta kru dan penumpang untuk berdoa?

 

"Berdoa adalah untuk meminta perlindungan dari Tuhan. Penumpang juga boleh berdoa mengikut kepercayaan masing-masing, ia sama sekali tidak salah jika juruterbang itu meminta mereka berdoa untuk kebaikan dan keselamatan penerbangan berkenaan. 

 

"Itu adalah peluang bagi mereka untuk memohon perlindungan daripada Tuhan bila berlakunya situasi kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, tindakan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang membidas tindakan juruterbang AirAsia itu disifatkan tidak profesional selain dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kritikan tanpa memahami situasi di dalam kapal terbang secara menyeluruh.

"Mungkin beliau (Zaid) ketika itu berada di dalam rumah yang luas dan hanya membaca berita mengenai insiden berkenaan melalui internet tetapi pastinya beliau tidak berada di dalam pesawat ketika ia berlaku.

 

"Setiap situasi yang berlaku di dalam pesawat berbeza sekali. 

 

"Tidak ada sesiapa yang tahu tahap keselamatan nyawa penumpang di dalam penerbangan kecuali Tuhan sahaja," katanya.

 

Isnin lalu, Zaid dalam catatan di Twitter rasminya mengkritik tindakan juruterbang itu selain berpendapat syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.

Berita Harian X