Rabu, 28 Jun 2017 | 7:49pm
MALAYSIA dinaikkan ke Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) berhubung Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2017. - Foto fail NSTP

Malaysia capai kedudukan terbaik

PUTRAJAYA: Malaysia dinaikkan ke Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) berhubung Pemerdagangan Orang (US TIP Report) 2017, membabitkan penilaian terhadap 187 negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata penilaian merangkumi usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang melalui tiga komponen utama iaitu pendakwaan, perlindungan dan pencegahan.

"Ini pencapaian terbaik Malaysia sejak 2007 selepas negara mempunyai perundangan khusus mengenai pemerdagangan orang, hasil komitmen ahli Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) menerusi Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"JNAS mengalu-alukan usaha Malaysia mengukuhkan kerjasama antara agensi dalam aspek siasatan menerusi penubuhan Pasukan Petugas Khas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

"Bagi memperbaiki usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang pada masa depan, Malaysia disyorkan memperbaiki pelaksanaan peraturan melalui pindaan Akta ATIPSOM 2015, terutama kebenaran bekerja dan bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Laporan JNAS itu turut menyentuh pembabitan sebahagian kecil penjawat awam khususnya agensi penguatkuasaan dalam kegiatan berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Setakat ini, 42 individu sudah ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan.

Alwi yang juga Pengerusi MAPO berkata, Malaysia perlu menambah baik aspek perlindungan mangsa pemerdagangan orang dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi pelaksanaan program termasuk penyediaan rumah perlindungan tambahan, selain memberi layanan berdasarkan hak asasi manusia.

"Kerajaan menyambut baik pembabitan NGO dalam aspek perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan

melantik 12 individu sebagai pegawai pelindung manakala bagi menzahirkan keterbukaan kerajaan, dua NGO yang akan menerima sumbangan kewangan untuk menguruskan rumah perlindungan mulai Julai ini.

"Kerajaan turut menggesa majikan supaya komited dalam pembayaran levi pekerja asing sebagaimana dipersetujui untuk dilaksanakan bermula pada Januari 2018, sekali gus mencegah pekerja asing terjerumus dalam keterikatan hutang dan kemungkinan dieksploitasi.

"Malaysia terus komited membanteras jenayah pemerdagangan orang melalui pelaksanaan penuh Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2016-2020) yang menumpukan kepada kerjasama dengan negara rakan strategik termasuk AS bagi memperbaiki aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan mangsa," katanya.

Alwi berkata, semua pendekatan itu menepati sasaran kerajaan bagi memastikan usaha negara terus diperkukuhkan, selaras hasrat mencapai Tahap 1 pada penilaian tahun 2020.

100 dibaca
Berita Harian X