Khamis, 29 Jun 2017 | 10:33am

Anggota bomba bantuan parah kemalangan

KEADAAN motosikal anggota bomba bantuan yang cedera parah selepas dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Ayer Hitam-Serting Ulu, malam tadi. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BANDAR SERI JEMPOL: Seorang anggota bomba bantuan cedera parah selepas dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan di Kilometer 6, Jalan Ayer Hitam-Serting Ulu di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu menyebabkan Muhamad Nur Iqmal Hanidee, 18, yang baru selesai bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Jelebu, cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ayer Hitam di sini, sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti dari arah belakang.

"Kejadian itu disedari orang awam yang kemudiannya menghubungi ambulans dan membawa mangsa ke Hospital Jempol untuk mendapatkan rawatan," katanya, sebentar tadi.

Noorzainy berkata, lokasi kejadian gelap manakala jalan tidak rata. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X