Khamis, 29 Jun 2017 | 10:45am

Kanak-kanak maut, 2 parah kereta langgar pokok


KEADAAN kereta jenis Honda Stream yang dipandu Sharin Sajat yang terbabas di KM16 Jalan Kuala Perlis - Changlun pada jam 8.30 malam tadi, mengakibatkan seorang anaknya maut sewaktu menerima rawatan kecemasan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. - Foto ihsan pembaca

ARAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut apabila kereta dinaiki bersama keluarganya terbabit kemalangan di Kilometer 16 Jalan Kuala Perlis-Changlun di sini, malam tadi.

Mangsa, Nursyazani Sharin, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, selepas cedera parah dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang menyebabkan kematian mangsa.

Mengulas kemalangan itu, beliau berkata kejadian berlaku apabila kereta jenis Honda Stream dinaiki enam sekeluarga yang dipandu bapa kanak-kanak itu, Sharin Sajat, 30, dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar pokok.

"Akibat kejadian itu, Sharin patah kaki kanan manakala Nursyazani bersama ibunya, Norhana Sawal, 30, dan seorang sepupu yang berusia tiga tahun, Nur Ufairah Afiqa Mohd Zaini, dilaporkan kritikal.

"Semua yang parah dikejarkan ke HTF sebelum Nursyazani disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa iaitu bapa saudara Nursyazani, Mohd Zaini Sawal, 41, dan seorang lagi anaknya, Nur Uzma Aqilah, 6, mengalami kecederaan ringan dan turut dirujuk ke hospital sama," katanya.

70 dibaca
Berita Harian X