Khamis, 29 Jun 2017 | 1:10pm

Zakaria serah jawapan surat tunjuk sebab

DATUK Zakaria Arshad. - Foto Aizuddin Saad
DATUK Zakaria Arshad. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang diarah bercuti, menyerahkan jawapan surat tunjuk sebab kepada syarikat itu, pagi ini.

Bagaimanapun Zakaria tidak hadir, sebaliknya diwakilkan oleh adik beliau, Maulud Arshad yang menyerahkan surat itu kepada Setiausaha Syarikat FGV, Koo Shuang Yen.

Zakaria ketika dihubungi sebentar tadi menjelaskan beliau berharap panel penyiasat dapat meneliti sebaik mungkin jawapan balas yang dikemukakan di dalam suratnya itu.

"Saya harap mereka akan melihat dan mengambil kira juga pandangan saya dan bukan hanya dari pandangan juruaudit sahaja.

"Ini kerana saya sudah bekerja di sini lebih 23 tahun dan mengetahui selok-belok perniagaan di dalam syarikat dan industri," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Zakaria berkata, beliau tetap yakin dirinya di pihak yang benar dan tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa.

"Tiada, tiada," jawabnya ringkas ketika ditanya sama ada membuat kesalahan atau tidak.

Beliau juga tidak tahu bila akan menerima jawapan daripada FGV.

"Saya tidak tahu. Terpulang kepada mereka. Saya akan tunggu sahaja," katanya yang ketika ini berada di kampungnya di Felda Palong Satu, Gemas, Negeri Sembilan.

Pada 6 Jun lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria; Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim, supaya bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman dilaksanakan secara terperinci berhubung dakwaan salah laku dalam urus niaga membabitkan syarikat Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Berita Harian X