Khamis, 29 Jun 2017 | 3:49pm

Annex 13 ambil alih siasat insiden AirAsia X

KUALA LUMPUR: Insiden kegagalan enjin pesawat AirAsia X kini diambil alih sepenuhnya oleh Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pengurus Komunikasi Aeroangkasa Awam Rolls-Royce, Bill O'Sullivan, berkata badan khas itu adalah agensi tunggal yang mempunyai kuasa untuk membincangkan faktor kemungkinan satu daripada dua enjin pesawat Airbus 330 (A330) itu gagal berfungsi, Ahad lalu.

Katanya, tempoh penyiasatan akan ditentukan sepenuhnya oleh Annex 13, justeru Rolls-Royce sebagai pengeluar enjin terpaksa akur dengan setiap prosedur yang digariskan.

"Kita akan bekerjasama dengan pasukan khas Annex 13 ICAO dan memastikan penyiasatan berupaya diselesaikan mengikut tempoh yang diperuntukkan," katanya kepada BH, hari ini.

Mengikut rekod, O'Sullivan berkata, masalah dialami pesawat AirAsia X yang dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur itu jarang berlaku kerana enjin Trent 700 mempunyai reputasi kejayaan operasi sejak menjengah pasaran pada 1995.

Beliau berkata, enjin berkenaan mempunyai rekod operasi terkumpul menjangkau 44 juta jam dan ketika ini digunakan lebih 750 pesawat, merangkumi 80 operator di seluruh dunia.

"Oleh itu, ada pelbagai kemungkinan yang menyebabkan enjin pesawat AirAsia X, D7237 mengalami masalah sehingga seluruh kerangka utama pesawat bergegar.

"Bagaimanapun, Rolls-Royce ketika ini tidak boleh mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan selagi Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 ICAO tidak melengkapkan laporan mereka," katanya.

Ditanya sama ada Rolls-Royce berhasrat memperluaskan penyiasatan terhadap semua pesawat A330, O'Sullivan berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian, sebaliknya menumpukan usaha merungkai kes penerbangan D7237.

Beliau berkata demikian mengulas pelbagai kes laporan kerosakan membabitkan enjin Trent 700 yang digunakan pada pesawat A330 sejak kebelakangan ini, termasuk penerbangan China Eastern, MU736 dari Sydney ke Shanghai, pada 12 Jun lalu.

Detik cemas dialami 297 penumpang itu dikatakan berpunca daripada keretakan sehingga menyebabkan lubang besar pada bahagian 'nacelle', iaitu struktur yang menutup enjin pesawat.

Terbaharu, pesawat AirAsia X, D7237 yang dalam penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur, Ahad lalu terpaksa berpatah balik ketika melintasi ruang udara Carnarvon, dekat perairan barat Australia selepas satu daripada dua enjinnya gagal berfungsi angkara bilah turbinnya tercabut.

Kes AirAsia X itu hampir sama dengan pesawat Cathay Pacific yang mengalami kerosakan enjin keduanya sehingga terbakar ketika dalam penerbangan dari Singapura ke Jakarta pada 16 Mei 2001.

Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran tercetus angkara serpihan bilah sepanjang 130 milimeter yang patah, sekali gus berlaga dengan putaran turbin enjin Trent 700 pesawat berkenaan.

Berita Harian X