Khamis, 29 Jun 2017 | 10:20pm

AirAsia X: Siasatan selesai sebulan


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto Danial Saad

PELABUHAN KLANG: Kementerian Pengangkutan menjangkakan siasatan berhubung insiden enjin pesawat AirAsia X yang gagal berfungsi Ahad lalu, selesai dalam tempoh sebulan.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pihaknya juga bekerjasama dengan Kerajaan Australia bagi mengenalpasti punca sebenar insiden membabitkan penerbangan D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur itu.

"Kita telus dalam isu ini, sebaik sahaja keputusan siasatan diperoleh, kami akan mengumumkannya.

"Kita tidak tahu situasi sebenar yang menyebabkan kejadian itu. Oleh itu, kita akan bertukar pandangan dan berkongsi maklumat selain terus berhubung antara satu sama lain dari masa ke semasa mendapatkan perkembangan terkini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung MCA Bahagian Klang di sini, malam ini.

Tiong Lai berkata, kementerian turut mengarahkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) bekerjasama dengan agensi kerajaan Australia berhubung siasatan terhadap pesawat itu.

Pada Ahad lalu, pesawat AirAsia X, penerbangan D7237 terpaksa berpatah balik ketika melintasi ruang udara Carnarvon, dekat perairan barat Australia ketika dalam perjalanan dari Perth ke Kuala Lumpur selepas satu daripada dua enjinnya gagal berfungsi disebabkan bilah turbinnya tercabut.

Berita Harian X