Jumaat, 30 Jun 2017 | 10:41am

APMM perlu dua lagi kapal induk

KETUA Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memerlukan dua kapal induk untuk memantapkan kawalan keselamatan serta pengoperasian di kawasan perairan negara khusus untuk mengekang pencerobohan bot-bot nelayan asing serta penyeludupan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata kapal itu akan berfungsi sebagai kapal induk yang akan membawa lebih banyak bekalan makanan serta minyak untuk tujuan operasi.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk meletakkan kapal induk itu di kawasan perairan Beting Patinggi Ali Laut China Selatan serta di perairan Pantai Timur.

"Kapal induk ini adalah kapal besar yang juga boleh membuat tugas penguatkuasaan, cumanya kapal ini akan berada di kawasan perairan negara lebih lama.

"Oleh itu, kapal-kapal kecil yang membuat tugas meronda akan dapat mengambil bekalan makanan atau minyak di kapal induk itu tanpa perlu pulang ke pangkalan, ia akan menjimatkan masa dan kos," katanya.

Beliau berkata, APMM mempunyai kira-kira 250 buah bot yang ditugaskan membuat rondaan dan pemantauan di perairan negara.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya berharap dapat menambah baik infrastruktur yang dimiliki APMM dalam melancarkan dan memudahkan operasi yang dijalankan.

"APMM memerlukan lokap yang lebih besar kerana dalam satu-satu operasi misalnya tangkapan nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin membabitkan ramai individu," katanya.

APMM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dari dalam dan luar negara bagi memantapkan penguatkuasaan dengan cekap dan berkesan terutama melalui maklumat risikan.

"Selain itu, pendekatan memperagakan aset-aset menerusi rondaan dan pemantauan di kawasan panas terus dilakukan untuk menyekat pelakuan jenayah di samping mempercepatkan masa respons apabila menerima laporan kejadian jenayah maritim," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X