Jumaat, 30 Jun 2017 | 12:17pm
FATIN Afeefa bersama anaknya.

'Nanti ada yang dengki'


PELAKON filem Hospital, Fatin Afeefa. - Foto Halimaton saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Fatin Afeefa mempunyai sebab tersendiri tidak memuat naik gambar bersama suami, Adam Shahz, di media sosial.

Status rumah tangga pelakon wanita berusia 22 tahun yang mula menempa nama menerusi filem Tentang Bulan itu menjadi tanda tanya apabila tidak memuat naik sebarang gambar sambutan Aidilfitri bersama suaminya, yang juga seorang pelakon.

"Saya ada sebab tersendiri tidak memuat naik gambar suami. Jika sering meletakkan gambar bahagia, nanti ada pula yang dengki.

"Tiada masalah antara kami. Lagipun, masing-masing sibuk dengan kerjaya dan ia membuatkan kami tidak sempat membuat persiapan raya," kata Fatin secara ringkas ketika mengulas perkara itu.

Isteri kepada bintang filem Juvana itu menjelaskan masih terikat dengan drama rantaian Semusim Rindu yang sedang disiarkan di stesen swasta.

Terdahulu, Adam menafikan dakwaan isterinya memfailkan permohonan cerai selepas dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung.

Jelas Adam, mereka tidak tinggal sebumbung berikutan dalam proses berpindah rumah.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau nama penuhnya Fatin Nur Afifah Shamsudin pada 21 Disember 2013. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Bercerita mengenai perihal kecantikan, Fatin sering berkongsi rawatan yang dilakukannya pada usia muda.

Biarpun menerima komen negatif berhubung perkongsian itu, Fatin memilih untuk tidak melenting dan membuat penjelasan secara baik.

"Saya membuat rawatan untuk 'eye bag', membuang lapisan lemak di bawah dagu dan banyak lagi, namun semuanya bersifat sementara. Saya tidak akan mengubah fizikal wajah.

"Tajaan setahun yang diberikan oleh sebuah klinik kosmetik adalah bagi membantu memperbaiki cela wajah, terutama selepas melahirkan anak," katanya.

Berita Harian X