Jumaat, 30 Jun 2017 | 1:35pm

Projek jalan, terowong Pulau Pinang bercanggah Akta 138


NAIB Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP didakwa gagal mematuhi Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) dalam pelaksanaan projek pembinaan tiga jalan dan terowong dasar lautnya yang mencetuskan pelbagai kekeliruan.

Naib Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata tindakan kerajaan negeri membayar penuh yuran rundingan kajian kebolehlaksanaan projek terbabit berjumlah RM208.8 juta melanggar jadual pembayaran digariskan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) seperti termaktub dalam Akta 138.

Berdasarkan akta itu, katanya, yuran rundingan perlu dibayar secara berperingkat dan bayaran penuh hanya boleh dilakukan apabila pembinaan bermula sedangkan ketika ini tiada satu pun daripada pembinaan tiga jalan atau terowong terbabit sudah dimulakan.

Beliau turut mempersoalkan kos kajian kebolehlaksanaan jalan berkembar dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang sepanjang 10.53 kilometer (km) (Pakej 1) sejumlah RM120.4 juta yang 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kos sama bagi terowong dasar laut sepanjang 6.5 km yang hanya bernilai RM96.2 juta.

"Kenapa kerajaan negeri bayar penuh pada perunding dengan begitu cepat? Perkara ini perlu dijelaskan kerana ia bercanggah dengan undang-undang.

"Kos kajian kebolehlaksanaan Pakej 1 juga tidak masuk akal kerana sudah tentu kajian bagi terowong dasar laut sepatutnya lebih sukar dan mahal berbanding kajian membina jalan raya," katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, mendakwa kerajaan Pulau Pinang membayar yuran rundingan reka bentuk pembinaan tiga jalan di bawah projek terowong dasar laut Pulau Pinang empat kali ganda lebih mahal daripada kadar maksimum yang ditetapkan LJM, iaitu lebihan bayaran sebanyak 400 peratus.

Bagaimanapun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menafikannya dan mendakwa lebihan bayaran itu hanya 17.6 peratus.

Hoe Chai berkata, GERAKAN mengkaji dokumen berkaitan projek terbabit dan akan mendapatkan injunksi daripada mahkamah untuk menghentikan pelaksanaan semua projek berkenaan jika jelas berlaku perkara mencurigakan.

Berita Harian X