Jumaat, 30 Jun 2017 | 2:02pm

Pegawai kerajaan Sarawak dituduh rasuah


TERTUDUH kesalahan rasuah di bawa keluar dari Mahkamah Khas Kuching Petra Jaya.- Foto Che Rani Che Din

PETRA JAYA: Seorang pegawai agensi kerajaan negeri Sarawak dan dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuching, di sini, hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar di Bangunan Baitulmakmur, di sini, antara 3 September 2014 hingga 7 Mei 2015.

Pegawai kerajaan terbabit, Nancy Mongin, 44, menghadapi enam pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang dibaca bersama Seksyen 28 (1)(c) akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Dua lagi tertuduh, Reggy Petrus Naes, 46, dan Akiu Bandat, 58, pula masing-masing menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Hakim Jason Juga, membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 7 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes ketiga-tiga tertuduh.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Law Chin Hoe manakala Nancy serta Reggy diwakili peguam Teresa Udam dan Akiu pula diwakili Jonathan Jalin.

Berita Harian X