Jumaat, 30 Jun 2017 | 5:52pm

Chong Wei fokus mahkota dunia

DATUK Lee Chong Wei. - Foto Nadim Bokhari

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, kekal tenang dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang berbaki sebulan setengah sebelum membuka tirai saingannya pada 21 Ogos ini.

Kepulangan semula Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki seharusnya menjadi tonik tambahan buat pemain nombor dua dunia itu dalam misi memburu gelaran sulung juara dunia.

Chong Wei, 35, berkata fokusnya ketika ini adalah persiapan menghadapi kejohanan di Glasgow itu dengan semua perkara lain diletakkan ke tepi terlebih dulu.

"Untuk saya memang fokus adalah terhadap persiapan ke Kejohanan Dunia. Dengan hanya berbaki sebulan setengah, masa semakin suntuk untuk saya.

"Apa yang saya fikirkan sekarang adalah persiapan, menang atau kalah perkara nombor dua. Saya perlu buat persiapan terbaik dan pastikan saya berada pada tahap terbaik sebelum ke Glasgow," kata Chong Wei.

Walaupun sudah tiga kali mara ke pentas final kejohanan dunia, gelaran juara belum memihak kepada Chong Wei yang sekadar muncul naib juara pada 2011, 2013 dan 2015.

Dengan usia semakin meningkat, 2017 menjadi peluang terbaik buat Chong Wei merealisasikan impiannya bergelar juara dunia buat kali pertama.

Ditanya sama ada Misbun akan menemaninya ke Glasgow, Chong Wei: "Misbun belum memulakan tugas sebagai jurulatih, kita perlu tunggu beliau bertugas dulu Isnin ini.

"Soal beliau mahu pergi ke Glasgow atau sebaliknya, itu kita perlu bincang dulu. Lagipun, tarikh Kejohanan Dunia bertindih dengan Sukan SEA," katanya.

Berita Harian X