Sabtu, 1 Julai 2017 | 1:31am

Keagamaan, kerohanian penting bagi identiti negara - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata keagamaan dan kerohanian adalah aspek yang penting dalam pembentukan peribadi individu yang memainkan peranan dalam pembangunan sahsiah dan identiti negara.

Perdana Menteri berkata, prinsip pertama Rukun Negara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan' memperjelas hakikat bahawa ia menjadi nadi pembinaan jati diri rakyat Malaysia.

"Prinsip ini membayangkan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia harus berpegang teguh kepada nilai murni yang diajar dan diterapkan oleh agama.

"Apabila kita berpegang teguh kepada ajaran agama, maka ia dapat membentuk kehidupan yang sejahtera. Kita akan bertindak sebagai insan yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara, bermula dari ketaatan dan kepercayaan kepada agama masing-masing," katanya menerusi catatan terbaharu blog rasmi beliau, www.najibrazak.com, hari ini.

Perdana Menteri berkata baru-baru ini, beliau menjemput rakan dalam taliannya di Twitter dan Facebook untuk berkongsi aspirasi Transformasi Nasional 2050 menerusi #TN50 dari sudut keagamaan dan kerohanian itu.

Katanya, TN50 adalah usaha kerajaan dan rakyat untuk mencorak masa depan negara bagi tempoh 30 tahun bermula 2020 hingga 2050 dengan Malaysia harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.

"Cita-cita ini sudah pastinya mampu dicapai sekiranya Kerajaan dan rakyat sama-sama menggembleng idea serta tenaga ke arah satu matlamat, " kata beliau sambil mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang memberi cadangan #TN50 menerusi e-mel atau laman media sosial beliau.

Perdana Menteri berkata, cadangan pengguna media sosial menggalakkan dan menggambarkan semangat serta sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terutamanya daripada Generasi TN50.

Najib berharap agar lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan mengambil bahagian dalam dialog TN50 demi mencapai matlamat menjadikan Malaysia antara negara teratas di tangga dunia dalam aspek ekonomi, kesejahteraan rakyat dan juga inovasi.

Beliau turut berkongsi beberapa cadangan mereka termasuk Ahmad Khalid Yong yang mencadangkan agar umat Islam kembali merujuk kepada kitab suci al-Quran sebagai sumber pengetahuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.

Ahmad Khalid mencadangkan supaya diwujudkan sebuah "Quranpedia" yang boleh menjadi sumber rujukan dan pengetahuan bukan sahaja untuk rakyat Malaysia yang beragama Islam tapi juga bukan Islam yang berminat untuk mengkaji isi kandungan kitab suci al-Quran.

"Alhamdulillah, kita mengorak langkah dan melakukan pelbagai usaha ke arah memartabatkan al-Quran di bumi Malaysia ini, daripada pendekatan Wasatiyyah sehinggalah kepada pewujudan Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya yang meletakkan status kita sebagai negara pengeluar dan pencetak al-Quran terbesar di dunia selepas Arab Saudi, " katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkongsi cadangan Joshua Chan supaya lebih banyak dialog antara agama dianjurkan demi mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam antara rakyat Malaysia yang berbeza agama, bangsa dan budaya.

"Cadangan ini mengingatkan saya kepada dialog TN50 yang kini giat berlangsung di seluruh pelusuk negara, satu platform dan medium dalam suasana santai, berinformasi dan terbuka bagi kita sama-sama melontarkan idea dan pendapat, demi kebaikan negara sendiri," katanya.

Sementara itu, Natasha Nor Jaafar mencadangkan agar subjek pendidikan moral di sekolah rendah dirombak semula dengan menerapkan unsur persefahaman antara agama sesuai dengan status Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

Cynthia pula berpendapat bangunan keagamaan seperti masjid, kuil, gereja, gurdwara dan tokong lebih kerap menganjurkan aktiviti dan program yang mengajak masyarakat berbilang kaum untuk turut serta agar dapat dikurangkan jurang perbezaan antara rakyat Malaysia.

Najib berkata, sepanjang bulan lalu, beliau berjumpa dan berdialog bersama-sama penjawat awam, mahasiswa, belia dan juga penggiat seni untuk berkongsi pendapat dan aspirasi berkenaan TN50.

"Insya-Allah, saya akan terus bertemu dengan anda semua demi mendapatkan lebih banyak feedback (maklum balas) serta cadangan, " katanya.

BERNAMA

Berita Harian X