Sabtu, 1 Julai 2017 | 3:17pm

Johor kenal pasti 3 segmen bioteknologi

MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) diiringi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abd Samad (empat dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pasir Gudang, di Dewan Johor Jaya. - Foto oleh Mohd Azren Jamaluddin

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sudah mengenal pasti tiga segmen bioteknologi yang menjadi antara sektor utama bagi menerajui pembangunan ekonomi di Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Johor mempunyai aliran ekosistem yang bertepatan bagi membangun, sekali gus menjadi negeri yang mempunyai hab bioteknologi utama di rantau ini.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi tumpuan khusus kepada tiga segmen dalam sektor bioteknologi termasuk bio-industri, bio-kesihatan dan bio-agro.

"Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) akan dipertanggungjawab bagi melaksanakan pembangunan sektor bioteknologi negeri.

"Kita (kerajaan negeri) sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi termasuk merancang pelbagai program yang akan mewujudkan nilai tambah dan limpahan ekonomi bagi rakyat.

"Tiga bidang ini kita (kerajaan negeri) rangka dan kita jangka untuk dibangunkan bagi menarik pelaburan untuk menentukan adanya ruang dan peluang pekerjaan yang memberi manfaat di atas pelaksanaan rancangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad, di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, terdapat beberapa kawasan di selatan Johor yang akan disediakan bagi pembangunan industri bioteknologi termasuk kawasan berpusat di Skudai, dekat sini.

"Bagaimanapun, syarikat berasaskan bio memerlukan tanah untuk menubuhkan ladang bagi pembekalan bahan mentah dan ini membolehkan daerah lain di negeri ini mendapat manfaat daripada kegiatan yang dijalankan," katanya.

Mengikut laporan, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) akan membuka kilang bio pertama di dunia yang akan beroperasi di Nusajaya, Johor sekali gus menawarkan 400 peluang pekerjaan.

Bioeconomy, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sebagai peneraju kimia berteraskan bio mengadakan kerjasama dengan Sime Darby Bhd (Sime Darby) dan Verdezyne, sebuah syarikat berstatus Bionexus.

Berita Harian X