Sabtu, 1 Julai 2017 | 11:55pm
PEMAIN JDT, Mohamad Ghaddar mengawal bola sambil diasak pemain Pulau Pinang, Mafry Balang pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto BERNAMA
PEMAIN Pulau Pinang, Mafry Balang (kiri) diasak pemain JDT, Mohamad Ghaddar pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto BERNAMA

Liga Super: JDT mudah atasi P Pinang

PEMAIN JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera (kiri) diasak pemain Pulau Pinang, Muhd Radiuddin Roddin dan Mafry Balang pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu bukan saja melebarkan kemenangan skuad Harimau Selatan kepada sembilan perlawanan, malah membolehkan pengendali baharu skuad Harimau Selatan, Ulisses Morais lulus ujian pertama.

Bagi skuad Harimau Kumbang pula, kekalahan itu kekal meletakkan mereka di tangga tercorot liga selepas 14 perlawanan.

Dalam aksi malam tadi, seawal minit pertama lagi, tuan rumah mencemaskan gawang pelawat apabila bola umpanan kapten pasukan, Safiq Rahim tepat kepada S Kunanlan yang bingkas melambungkan bola, namun Brandon McDonald sempat menendang keluar tatkala Mohammed Ghaddar cuba untuk mengasak.

Namun malang buat Ghaddar apabila peluang terhidang terlepas begitu saja pada minit ke-12 selepas menerima bola umpanan Gonzalo Cabrera, apabila bertindak pantas merembatnya namun terkena pertahanan lawan sebelum ditangkap kemas penjaga gol, Amirul Asyraf Suhaidi.

Serang balas anak didik Zainal Abidin Hassan selang dua minit kemudian memaksa penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi Roslan terpaksa keluar sebelum berjaya menghalang dua percubaan berbahaya pelawat.

Selepas bertali arus mengasak ke kubu pelawat, akhirnya Ghaddar menemui sentuhan ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan pada babak pertama apabila mudah menyudahkan bola umpanan Cabrera yang melorongkan bola di celah pemain pertahanan lawan.

Pelawat tampak mengubah corak permainan dengan tampil lebih agresif tatkala babak kedua bersambung dan hampir menyamakan jaringan pada minit ke-55 selepas bola rembatan Nigel Dabinyaba memaksa Izham Tarmizi merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-68 selepas Ignacio Insa bertindak melakukan rembatan deras dari jarak 30 meter namun palang gol menjadi penghalang ketika Amirul Asyraf sudah tertewas.

Cabrera yang menjadi pencetus gol pertama nyata berada dalam kelas tersendiri apabila mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-83 selepas menggelecek tiga pertahanan lawan sebelum merembat bola tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Amirul Asyraf untuk memastikan kemenangan 2-0 milik JDT.

Berita Harian X