Ahad, 2 Julai 2017 | 10:16pm

Polis Selangor keluarkan 41,178 saman

KUALA LUMPUR: Sejumlah 41,178 saman dikeluarkan polis Selangor atas pelbagai kesalahan dalam tempoh dua minggu pelaksanaan Op Selamat 11/2017, setakat semalam.

Jumlah itu meningkat 18.11 peratus atau 6,314 saman berbanding ketika Op Selamat 9/2016, sekali gus menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang enggan mematuhi undang-undang ditetapkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata kes kemalangan turut menunjukkan peningkatan 8.8 peratus pada Op Selamat kali ini, iaitu 5,509 kes berbanding Op Selamat sebelumnya sebanyak 5,065 kes.

"Biarpun jumlah kemalangan meningkat, namun jumlah kemalangan maut dan kematian yang dicatatkan setakat semalam menurun 14 kes berbanding Op Selamat 9/2016.

"Sejak hari pertama hingga semalam, sebanyak 31 kematian dicatatkan berbanding 45 kes, turun 31.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Op Selamat 11 sempena Aidilfitri bermula 18 Jun lalu dan akan berakhir esok.

 

Berita Harian X