Rabu, 27 Ogos 2014 | 8:59pm

Sultan Selangor titah nama calon MB dikemuka Rabu depan

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan PKR, PAS dan DAP mengemukakan nama calon untuk jawatan Menteri Besar pada atau sebelum Rabu depan.

Titah baginda itu terkandung dalam surat Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohammad Munir Bani, yang dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, petang tadi.

"Nama calon hendaklah dikemukakan pada atau sebelum 3 September 2014," menurut surat itu.

Dalam surat itu, Mohammad Munir menegaskan Sultan Selangor telah menitahkan mereka mengemukakan lebih daripada dua nama daripada parti masing-masing sebagai calon Menteri Besar untuk pertimbangan dan perkenan baginda.

"Ini adalah sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini," katanya.

Menurut Mohammad Munir, Sultan Selangor juga menitahkan calon-calon yang dicadangkan itu perlulah mematuhi Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, iaitu berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Semalam, Sultan Selangor menangguh menerima peletakan jawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga penggantinya ditentukan dan menitahkan parti dalam Pakatan Rakyat mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon untuk perkenan baginda.

Bagaimanapun, PKR dan DAP tetap mahu mengemukakan nama Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan itu.

Berita Harian X